Friday, June 19, 2009

Ular 'Brutal',Biawak 'Zionis',Kuda Sentimental dan Katak 'Steady'!

Ada satu hari itu, aku menjumpai beberapa haiwan yang agak pelik 'tingkahlaku'nya. Bermula dari pagi hinggalah ke malam hari.

'Mama cakap ada ular kat depan tu!'

Pagi itu saja, aku dikejutkan oleh kakak dengan berita yang kurang baik. Ular! Dah lama aku tak terserempak dengan binatang ini di sekitar rumah. Tiba-tiba saja hari ini ia muncul.
Bergegas aku lari ke luar rumah mencari bonda. Ku lihat bonda sedang memegang sebatang kayu panjang.

'Ular hitam!'

Pergh...!Ular tedung hitam. Kata bonda lagi memang besar ularnya. Ah, sudah... Apa nak buat yek. Tak ada pilihan lain terpaksalah panggil Wak Sawal.
Tunggu punya tunggu, tibalah Wak Sawal dengan langkah ibarat seorang laksaman Melayu Melaka sambil membawa kayu, tidak sabar hendak memberi pengajaran pada si hitam yang gentar menyorok di bawah batu, betul-betul di bawah pokok pelam.
Di ambilnya pahat tanah, satu diberinya pada aku untuk mengangkat batu dan satu lagi dijadikan senjata dalam misi memutuskan urat mari' si hitam. Bila diangkat sahaja batunya, tersembullah kepala hitam dari celahan dan semburan bisa dilepaskan. Aku yang agak 'goyang' terus melepaskan batu lalu menimpa si ular hitam. Walaupun reaksi tadi menunjukkan aku sebagai seorang yang penakut, tapi itulah yang terbaik supaya ular itu tidak lari dan kami tidak perlu mengejar lagi. Belum sempat si ular hendak 'mengucap' panjang, terjahan pahat di tangan Wak Sawal betul-betul hinggap di bawah kepalanya. Kasihan ada, takut ada... Mmm... Tapi mujur sahaja bonda tidak apa-apa. Syukur...

Ular 'Brutal'

Lain pula ceritanya pada sebelah tengahari. Sedang aku ligat menyidai pakaian di ampai, suara bising si ibu ayam di belakang rumah agak mengganggu kosentrasi kerjaku. Mulanya hendak dibiarkan, tapi sakit di telinga membawa keresahan di hati, aku terus menjengah ke belakang. Terkejut beruk aku kerana yang ku lihat bukanlah seekor beruk yang sedang bermain bola di pertunjukan fun-fair tapi seekor biawak 'kaper' yang sedang gelojoh menjamah anak-anak ayam sambil cuba dicakar-cakar si ibu ayam. Memang haram jadah kelakuan biawak itu. Kucapai sebatang kayu lalu dilontarkan ke arahnya. Mungkin kerana aku tidak pernah bermain boomerang, balinganku tersasar agak jauh.

'Kau pergi saja!'

Bonda memberi cadangan yang agak menggusarkan hatiku. Biawak makan orang tak? Biawak takut dengan orang tak? Biawak itu tak? Biawak ini tak? Ah, aku cuba persetankan soalan-soalan itu semua dan cuba melangkah.
Belum melangkah buat kali kedua, ku lihat si zionis itu dah mencicit lari ketakutan. Haha... Takut juga kau yek! Kebanggaan ketika itu hampir saja menghayutkan aku hingga terlupa cerita si ibu ayam yang baru saja kehilangan anak tercinta...

Biawak 'Zionis'

Sebelah petang pula, seperti biasa aku dan kawan-kawan menuju ke padang awam Felda Papan Timur untuk bermain bola sepak 3 sebelah dengan buah kelapa dipilih sebagai tiang gol.
Petang itu bukanlah seperti hari-hari yang lain. Setibanya kami di situ, kami di sambut dengan dua ekor kuda padi yang menjadikan padang bola itu sebagai padang ragut.
Disebabkan kehadiran haiwan ini, motosikal terpaksa diletakkan jauh sikit dari tempat biasa.
Ijal yang tidak sabar untuk bermain terus menajalankan aktiviti mengepam bola yang agak lembik sedang aku dan yang lain leka memerhatikan kuda padi tersebut. Si ibu ditambat pada tiang dan si anak dibiarkan bebas bergerak. Oleh sebab si anak itu tidak diikatlah ia mendekati Ijal, mungkin terpikat untuk mendalami permainan bola sepak selepas melihat kemunduran skuad Malaysia.
Kami cuba menenangkan si anak supaya tidak menyerang, tak cukup dengan itu ada juga yang sudah berlari menyelamatkan diri.
Mujur sahaja ia agak manja. Cuma mahu bermain bersama kerana agak kebosanan tiadanya rakan sebaya untuk berkongsi hobi, masalah, kegembiraan dan hakikatnya ia sedar yang mereka adalah satu-satunya anak-beranak kuda padi di kampung ini!

Kuda Sentimental

Dan kisah terakhir adalah kisah katak yang agak steady serta sering membuat muka selamba badak walhal ia tahu bahawa ia adalah seekor katak, bukan badak!
Apa yang istimewanya katak ini hingga aku memberi penghormatan menulis autobiografinya di blog ini?
Dipendekkan cerita, katak ini agak unik kerana sering kelihatan sedang duduk melepak sambil layan blues di salah sebuah kerusi di anjung rumah. Setiap hari, ayahanda akan mengambil katak itu lalu di letakkan di atas tanah sebelah luar keran kalau nak harapkan aku memang tak jalanlah.
Tetapi, sang pemanggil hujan ini tetap akan kembali melepak di kerusi yang sama dengan muka tak bersalah keesokkan harinya!
Macam biasa ayahanda akan melakukan perkara yang sama seperti hari-hari semalam, tapi tetap macam itu juga. Sang katak tetap akan ada di tempat yang sama. Ayahanda kata, kalau katak ini tak kacau kami sekeluarga, tak kisahlah kalau ia nak tumpang 'pot' kat kerusi ni.

Katak 'Steady'

No comments: