Thursday, November 27, 2008

Jemputan...

Malam ini, 27 November 2008 bersamaan 29 Zulkaedah 1429 selepas Isyak teratak ayahanda dan bondaku di Bandar Mas, Kota Tinggi, Johor Darul Takzim akan diadakan majlis bacaan Yassin dan Tahlil. Diharap sesiapa yang ada kelapangan dan dipermudahkan oleh ALLAH S.W.T dapat hadir. Semoga dengan kehadiran tetamu seperti anda dapat menyemarakkan lagi kasih kita kepada DIA, InsyaALLAH.

Menu Istimewa : Ayam Masak Kicap, Sambal Udang, Sayur Nangka....

Wednesday, November 26, 2008

Refleksi : Gunung Telapak Burok, Jelebu (3703 kaki)

Laluannya cukup mencabar. Aku dan peserta-peserta lain terpaksa menempuhi lebih kurang 15 bukit dan 4 anak sungai untuk sampai ke puncak Gunung Telapak Burok. Cukup menguji kesabaran dan kekuatan mental serta fizikal. Tidak hairanlah jangka masa 8 jam menjadi 20 jam.
Langkah ganasku pada mulanya menjadi sedikit hambar selepas menerima 'ciuman' daripada sang penyengat di kepala. Aku cukup terkilan kerana tidak dapat membawa begku sendiri hingga ke puncak. Walaubagaimanapun, aku masih teringat kisah yang diceritakan oleh Uncle Maswafi tentang sahabatnya yang cedera ketika mendaki Gunung Batu Putih. Tiada gunanya kalau diri kita sudah tidak mampu 'berdikari' tapi masih terus memaksa. Mungkin ia akan menyusahkan lebih ramai pihak. Jadi, aku mengambil keputusan meneyerahkan begku kepada Helmi yang ternyata lebih berstamina. Aku bersyukur kerana ramai yang membantu ketika itu.
Gunung Telapak Burok masih asing lagi dalam kalangan orang sekitar situ apatah lagi bagi diri kami yang rata-ratanya hanya tahu kewujudan tempat rekreasi Jeram Toi. Bagiku laluannya sesuai untuk individu yang mahukan sesuatu yang mencabar. Treknya yang 'mencanak' dengan hujan yang turun membasahi bumi, memang boleh mencabar kekuatan fizikal dan ketahanan mental seseorang. Untuk yang baru menceburi aktiviti mendaki, Gunung Telapak Burok bukanlah 'guru' yang sesuai. Aku percaya rata-rata yang menyertai aktiviti ini tidak mahu mendaki lagi selepas ini. Psikologi mereka akan mengatakan mendaki adalah sesuatu yang 'gila'. Ia bukan sahaja mempengaruhi bagi pendaki-pendaki baru, malah Uncle Maswafi, 'otai' gunung pernah berseloroh kepadaku, dia tidak akan mendaki Gunung Telapak Burok walaupun dibayar. Puncaknya tidaklah seperti yang aku harapkan, berkabus, pohon-pohon renek yang indah membentuk kubu, kumpulan batu-batu besar dan kawasan yang lapang untuk berkhemah. Tapi yang aku nampak hanyalah menara pemancar telekomunikasi, beberapa bangunan dan kisah tentang kewujudan keluarga 'Pak Belang'. Hampa sedikit rasanya.
Bagi aku, Gunung Telapak Burok banyak mengajar aku tentang kesabaran dan keindahan bersahabat. Entahlah... Mungkin itu yang banyak aku lihat. Sudah menjadi adat bila mendaki hingga ke aras yang tinggi, udara semakin berkurangan dan badan sudah kecapekkan, mental boleh hilang kewarasannya. Maka terjadilah pergaduhan, pertengkaran dan perang mulut tapi bagi yang mampu menahannya, dia boleh dianggap berjaya. Lihat sahaja ketika dipuncak. Masing-masing tertawa bersama bercerita pengalaman masing-masing walhal baru tadi bergaduh sewaktu mendaki.
Gunung Telapak Burok bukanlah penghujung cintaku bersama gunung. Aku harap rancanganku untuk mendaki bersama Mc tahun depan berhasil. Bukan sekadar mendaki tetapi membuat trans Ulu Bendul-Gunung Angsi-Bukit Putus. InsyaALLAH...

Keratan akhbar Sinar Harian Edisi Negeri Sembilan/Melaka
Khamis,20 November 2008
Keratan akhbar Sinar Harian Edisi Negeri Sembilan/Melaka
Ahad,23 November 2008


Trans : Semangat-Penat-Puncak
Foto Ihsan maswafi.blogspot.com

Menawan Puncak Telapak Burok, Jelebu

Kepalaku masih berpinar. Bisa disengat penyengat siang tadi masih terasa. Aku hanya mampu bersandar pada pohon besar yang tegak berdiri sambil memerhatikan Hadi menarik tangan Mat Ros. Aku tidak terdaya lagi untuk berjalan apatah lagi membantu Hadi. Terasa kesengalan pada sendi-sendi ini setelah hampir 20 jam berjalan meredah hutan belantara, bukit-bukau dan sungai demi satu tujuan, menawan puncak Telapak Burok. Aku teringat kembali latihan dan persediaan yang aku lakukan sebelum ini. Aku rajin berjogging demi memantapkan fitness dan ketahanan fizikalku. Tetapi sekarang, aku bukan sahaja perlukan itu. Apa yang penting adalah kecergasan dan kekuatan mental. Perjalanan yang ditempuh entah sampai bila akan berakhir.

Praaakkk!

Aku melihat Mat Ros tersungkur. Akar kayu yang dipegangnya patah. Aku sedikit terkedu melihat rakanku itu semakin lemah. Kudratnya berkurangan, tidak seperti pagi tadi. Bersemangat untuk menakluk Telapak Burok.

Hadi cuba menarik tangan Mat Ros. Mulutnya tidak henti-henti memberi semangat. Aku sedar, sekarang ini hanya dia mempunyai tenaga. Sedangkan aku dan Mat Ros sudah separuh mati. Aku teringat kata-kata Mat Ros petang tadi, “Aku nak jalan dengan Hadi lah... Aku tak boleh lah tak ada kau.” Aku tahu dia lebih ‘bersemangat’ jika ada Hadi bersama.

Mat Ros dan Hadi bersandar pada pokok berhampiran denganku. Kami sama-sama melepaskan udara kepenatan dari dalam badan. Aku mencapai sebatang Winston Light yang terakhir lalu dinyalakan. Aku dan Mat Ros bersilih ganti mengepam jantung. Suasana sejuk menambahkan kehibaan. Asap berkepul-kepul membuatkan aku teringat pada hangatnya unggun api. Kepingin aku menghangatkan badan ini. Sudahlah ditimpa hujan petang tadi, ditambah pula disengat penyengat di kepala. Kondisi badanku betul-betul tidak stabil. Aku berkira-kira, kami adalah kelompok kedua terakhir akan sampai kerana masih ada lagi di belakang kami. Uncle Maswafi, Helmi, Fadly, Ustaz, dan Long sedang berusaha membawa Hattan yang mengalami kekejangan sebentar tadi. Mulanya kami mahu menunggu mereka tetapi disuruh jalan dahulu.

“Mari,” Mat Ros bersuara. Dia masih mahu meneruskan perjalanan dengan berbekalkan sisa-sisa semangat yang ada. Dan malam itu, bertemankan samar-samar lampu suluh yang satu, kami meneruskan perjalanan menuju ke destinasi. Kami perlu juga meneruskan perjalanan ini. Kami tiada pilihan dan hanya kami bertiga....

Dari jauh aku sudah dengar riuh rendah. Paling jelas kudengar suara Fareez. Terasa lega hati ini. Mat Ros juga begitu. Langkahnya semakin laju. Aku sekadar membuntutinya, kadang-kadang hampir tersungkur tersadung akar kayu yang berselirat di atas tanah. Akhirnya kami bertiga berjaya memasuki kelompok besar. Kami berehat sebentar sebelum meneruskan perjalanan.

Lebih kurang jam 0530, kami berjaya juga sampai ke puncak Telapak Burok, Jelebu. Suhunya membuatkan aku terketar-ketar. Aku duduk bersama Mat Ros dan Hadi. Rasanya baru sebentar tadi kami bergelut meredah kegelapan hutan dengan penuh seksa, dan kini kami sudah boleh tertawa menceritakan pengalaman masing-masing...

Tuesday, November 25, 2008

Sekian Lama... Akhirnya...

Alhamdulillah,
Akhirnya aku boleh menulis lagi setelah sekian lama aku meninggalkan ruangan ini. Habis menawan puncak Telapak Burok, Jelebu, aku sibuk dengan kursus kepegawaian. Tidak sempat-sempat aku hendak menjenguk ruangan ini.
Kini cuti semester menjelang, aku harap banyak bahan dan coretan boleh aku kongsi bersama semua. Banyak yang ingin aku ceritakan...
Tunggu...

Pengalaman mengajar aku tentang keindahan...