Tuesday, June 30, 2009

Kepentingan Membina Persekitaran Bilik Darjah Yang Mesra Budaya Dalam Konteks Sekolah Di Malaysia (Rasional Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan)

Seperti yang diketahui, Malaysia amat dikenali sebagai sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum. Secara tidak langsung, pelbagai budaya akan wujud dalam sesebuah bilik darjah.
Oleh yang demikian, guru tidak seharusnya menganggap ini sebagai satu masalah dengan kehadiran murid yang berbeza dari segi individu dan budaya tetapi menjadikan fenomena ini sebagai keistimewaan yang wujud dalam bilik darjah.
Murid yang hadir dari pelbagai ras atau etnik akan membawa budaya mereka tersendiri yang berbeza daripada budaya makro (budaya dominan) yang menjadi budaya formal sekolah. Murid berbeza dari segi cara mereka berkomunikasi (verbal dan bukan verbal), nilai-nilai sosial dan intelektual, cara berinteraksi, gerak badan dan pandangan (world view) merka yang dipengaruhi oleh budaya masyarakat asal mereka.
Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) merupakan satu program yang menggalakkan penglibatan masyarakat setempat, para guru dan kerjasama murid-murid dalam kegiatan-kegiatan khas serta penggunaan bersama kemudahan, peralatan, penggemblengan tenaga dan kepakaran. Melalui program ini juga diharap dapat melahirkan persefahaman dan toleransi antara murid pelbagai kaum di sekolah.
Berdasarkan program ini, jelas menunjukkan bahawa betapa pentingnya mewujudkan persekitaran bilik darjah yang mesra budaya. Keperluan pendidikan berbilang budaya ini amat meruncing di Malaysia. Murid-murid datang daripada latar belakang dan budaya yang berbeza. Oleh itu, guru perlu peka kepada kepelbagaian ini supaya tiada kelompok merasakan diri mereka tersisih di sekolah atau di bilik darjah.
Pendekatan ini turut menjadikan guru lebih peka kepada amalan-amalan sekolah yang selama ini diterima tanpa dipersoal. Ada amalan-amalan sekolah secara tidak langsung mendiskriminasi golongan tertentu. Sebagai contoh, sistem pengaliran, pengisian kurikulum dan buku teks yang tidak mengambil kira keperluan dan pengertiannya bagi murid-murid yang berbilang latar belakang, mungkin menyebabkan murid tertentu berasa tersisih dan ketinggalan.
Persekitaran bilik darjah yang mesra budaya dapat membantu guru dalam mengenali murid dengan lebih dekat lagi. Apabila guru dan pihak sekolah peka kepada kepelabagaian muridnya dan mengambil inisiatif untuk memahami keperluan dan mengenal mereka dengan lebih dekat lagi, sekolah akan lebih bermakna kepada sebilangan besar murid.
Selain itu, melalui bilik darjah yang mesra budaya ini juga dapat mengurangkan stereotaip dan prasangka (prejudice) dalam kalangan guru dan murid. Ada guru yang mempunyai prasangka (negatif) kepada murid disebabkan ras, agama, kecacatan atau kebolehan mereka.
Pendekatan ini memberi peluang kelompok yang berasa tersisih, meningkatkan keyakinan diri mereka selain meningkatkan peluang mereka mengecapi kejayaan.
Jika dikaitkan dengan konteks RIMUP, persekitaran yang mesra budaya dapat meningkatkan peluang untuk berjaya dan menimbulkan kesefahaman dan perpaduan dalam kalangan murid. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, budaya asal seseorang murid itu boleh mempengaruhi tingkah lakunya di dalam bilik darjah. Sebagai contoh, kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang lemah dan datang dari keluarga yang miskin mempunyai gaya belajar yang berbeza. Mereka memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar yang lebih spesifik berbanding dengan murid yang lebih berupaya yang hanya memerlukan bimbingan sahaja dan boleh belajar sendiri.

(Ilmu Pendidikan : Budaya & Pembelajaran)