Entah macamana aku termakan dengan ajakan Mc dan cadangnya hanya menemannya berkayuh dari Sikamat ke Senawang. Kesilapan terangguk setuju mengikut sebuah kumpulan basikal ini berkayuh ke Rembau membuatkan aku tidak dapat berpatah balik lagi.
Setibanya di Rembau, aku bersama 11 lagi rakan kayuhan berehat sebentar di Petronas. Nak membakar, bahannya tertinggal kerana berkira tadi hanya ke Senawang kemudian berpatah balik ke institut. Jadi, terpaksalah telan angin sahaja.
"Kita naik Bukit Miku pula lepas ni!"
Terdiam sejenak aku, bukan nak patah balik ke Senawang kah? Bukit Miku? Macam mana pula 'rupa' Bukit Miku tu? Macam Bukit Putus kah? Atau macam Bukit Tangga?
Sampai sahaja di kaki Bukit Miku, aku menelan air liur. Cerunnya 45 darjah, sejauh 400 meter lebih kurang. Mampus! Nak patah balik? Aku seorang sajalah gamaknya. Nak tak nak kenalah juga melayan si Bukit Miku. Belum 30 meter mendaki, aku sudah mengalah. Gila! Memang tak larat. Tayar macam tak berganjak. Maklum sahajalah tayar mountainbike. Jadi, terpaksalah menyorong NYON5 sampai ke puncaknya. Itupun dekat 3 kali berhenti. Ramai jugalah yang menyorong masa tu tapi aku tak nak ceritalah siapa, takut melanggar privasi orang lain.
"Kita balik lalu Kuala Pilah!"
Perghh... Mendengar kata-kata itu aku hampir-hampir menjadi gila seperti di santet bomoh Siam. Dekat sangatkah Kuala Pilah dari sini sampai mereka memutuskan untuk pulang ke Seremban melalui Kuala Pilah? Jangkaan awal aku meleset. Hampir separuh mati aku bekerja mengayuh NYON5 menuju ke tempat yang dituju.
Memang kudrat aku sudah semakin berkurang. Sehinggakan yang lain terpaksa menunggu aku dan seorang lagi kenalan baru, hampir sejam di pekan Senaling, Kuala Pilah.
Berehat sebentar di Pekan Senaling dengan menghilangkan dahaga dengan minuman isotonik bukalah caranya untuk menghilangkan rasa mengantuk aku. Teringat katil dan kipas yang pasti boleh menghilangkan seribu kepanatan. Nak buat macamana, ikut sajalah...
Kami tiba di Ulu Bendul sejam setengah lewat daripada yang lain. Nak buat macamana... Kudrat tak cukup. Berehat sebentar, masa yang paling aku tunggu iaitu menuruni Bukit Putus yang amat terkenal dengan selekoh bahayanya. Memang mengujakan sungguh dapat menikmati angin yang cukup kuat walaupun sekali-sekala termasuk ke jalan bertentangan. Mujur tiada kereta.
Dan akhirnya aku sampai ke Seremban dengan 'cemerlang'nya. Aku dah tak sabar nak cari katil masa ini. Bayangkanlah aku berkayuh dalam jarak 110 km dengan purata masa 6:38:43. Memang kerja gila!
Mungkin ini kali pertama dan terakhir aku ikut geng tersebut berkayuh. Kalau Mc dan sahabatku Lukman yang membawa mountainbike dan dapat menyaingi basikal racing masih nak ikut, aku lebih rela berkayuh bersama Mat Ros, Hadi dan Paan. Bukan apa, aku akui, aku belum lagi mencapai standart seperti mereka semua. Walaubagaimanapun, aku tetap gembira sebab aku dapat juga membawa NYON5 mengembara jauh, walaupun sebelum ini aku berkira-kira mahu menjualnya....