Thursday, August 27, 2009

Arsenal Terlalu Gah Buat Celtic

Eduardo, Eboue dan Arshavin tambah derita Celtic dalam perlawanan yang turut disaksikan Sir Alex Ferguson

Misi Celtic yang bertandang ke Emirates Stadium bagi meranapkan 2 gol Arsenal dalam perlawanan pertama, akhirnya memakan diri selepas tewas perlawanan kedua dengan agregat 1-5. Situasi ini seharusnya meletakkan skuad kendalian Arsene Wenger dalam kedudukan meyakinkan bagi memberi tentangan pada musuh tradisi, mu Sabtu ini.
Perlawanan yang aku saksikan di siaran Indonesia kegemaranku, RCTI sejak awal lagi berlangsung agak laju. Gusar juga hati ini dengan ketiadaan kapten pasukan, Cesc Fabregas yang terpaksa diketepikan akibat cedera, ditambah dengan keberanian Wenger menggunakan khidmat penyerang 'sekali main, sekali cedera', Eduardo da Silva yang digandingkan dengan seorang lagi penyerang 'kejap jadi'kejap tak', Bendtner. Walaubagaimanapun, keadaan menjadi terkawal dengan bantuan pemain senior seperti William Gallas yang kebal menjana pertahanan. Beliau juga banyak membantu barisan depan dalam membuat serangan balas. Tidak dilupakan pemain muda, Denilson yang banyak mencipta peluang. Mudah-mudahan beliau dapat meneruskan kecemerlangan dalam perlawanan Sabtu ini. Awal permainan, Arsenal agak kelam kabut dan seperti ketandusan idea untuk mencipta gol.
Tentu ramai yang akan kata Eduardo berlakon terjatuh di dalam kotak penalti hingga pengadil perlawanan terpaksa memberi penalti tapi apakan daya, bola 50-50. Tak siapa dapat jangka. Eduardo tenang menjaringkan gol pertama perlawanan memperdaya penjaga gol lawan.
Gol kedua hadir melalui anak emas Arsene Wenger, Eboue yang kemas mengawal bola sebelum membuat sepakan padu menerjah jaring,

Babak kedua menyaksikan Celtic banyak mengatur serangan tapi benteng Arsenal terlalu kukuh. Arshavin yang baru beberapa minit masuk menggantikan Eduardo tampil dengan gaya tersendiri sebelum menjaringkan gol ketiga untuk menambah agregat menjadi 5-0. Tentu sahaja Ferguson yang melihat dari tempat duduk VIP tidak senang dengan semangat yang dipamerkan skuad muda Arsenal ini.
Walaubagaimanapun, Arsenal tetap seperti perlawanan sebelum ini, cepat terleka hingga menyebabkan Celtic berjaya mendapat gol saguhati melalui Donati yang melakukan first timer yang cukup cantik dan mengelirukan.

Pada perlawanan ini, aku menamakan Denilson sebagai pemain terbaik perlawanan kerana menjadi 'arkitek' berjaya di bahagian tengah.

Perlawanan seterusnya : mu vs Arsenal (Old Trafford Stadium, 29 Ogos 2009)

Keputusan :
Arsenal 3
Celtic 1
(Arsenal menang dengan agregat 5-1)

Wednesday, August 26, 2009

Apa Erti Berbuka Bagi Orang Yang Berpuasa?

"Tidak mengapa seseorang mencurahkan air ke atas kepalanya (ketika puasa) disebabkan panas atau dahaga kerana diriwayatkan oleh sebahagian sahabat bahawa mereka melihat Rasulullah s.a.w. di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala Baginda ketika Baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.”

(Ibn Qudamah al-Maqdisi, al-Mughni, 2/18, cetakan Dar al-Fikr, Beirut).

Aku bersyukur sangat-sangat sebab aku masih lagi berpeluang bertemu dengan puasa kali ini. Alhamdulillah. Pada aku, setiap kali hadirnya Ramadhan, tak banyak pun, sedikit mesti kehidupan seharian aku akan berubah. Kalau dulu nak bangun pagi nak pergi kelas punyalah liat, tapi bila dikejutkan bangun untuk bersahur seawal-awal pagi, cepat saja. Tahu-tahu dah ada di meja makan.
Mungkin itulah yang dikatakan baraqah atau berkat bulan Ramadhan. Allah sendiri dah janjikan bulan puasa ini memang banyak berkatnya. Terpulanglah sama ada kita nak cari atau tidak. Kalau kita rajin nak cari jumpalah, kalau kita malas... Tak tahulah. Ikut rezeki masing-masing. Rezeki, jodoh dan ajal tu di tangan Dia. Siapalah kita ini untuk menentukan kehendakNya.
Apa yang aku sentiasa harapkan menjelang bulan puasa ini, semoga Allah sentiasa melimpahkan rezeki, taufik, hidayah dan rahmatNya padaku dan keluargaku.
Menjelang bulan Ramadhan ini juga terdapat suatu tempat yang akan menjadi tumpuan orang ramai. Aku pun pelik. Masjid? Surau? Bukan... Tempat yang aku maksudkan adalah bazar Ramadhan. Bazar ni perkataan Arab bermaksud pasar. Bazar ni sebenarnya tak banyak beza dengan pasar malam yang selalu ada macam hari biasa-biasa tu. Aku secara jujurnya tak berapa nak minat pergi bazar ni. Lemas. Pernah sekali aku cuba menempuh 'ombak' manusia di bazar Ramadhan Ampangan. Belum sampai separuh, aku terpaksa berpatah balik. Tak sanggup nak teruskan. Ramai sangat. Tetapi mungkin yang istimewanya bazar ni mungkin kita dapat melihat karenah orang ramai termasuklah si penjualnya kah, si pembelinya kah ataupun si pemerhatinya. Haha... Paling 'syok' bila beberapa orang penjual 'berperang mulut', cuba mempromosikan jualan mereka. Yang dihujung sana, suaranya boleh didengar hingga hujung sini. Begitu juga sebaliknya.
Mungkin situasi ini akan dianggap membingitkan, tetapi bagi mereka inilah cara yang dapat memeriahkan keadaan di kala badan sudah kecapekkan berniaga. Tapi kadang-kadang, yang jadi bising tu, bukan sebab nak jual barang jualannya, tetapi sibuk mengacau anak dara yang lalu lalang di hadapan gerai mereka. Aku pun tak tahu sama ada nak salahkan mereka yang bermata keranjang ini, pantang tengok anak dara atau nak salahkan si anak dara yang seperti sengaja menunggekkan punggung dan mendada tinggi sewaktu melewati gerai anak-anak bujang ini. Hidangan depan mata kan... Nauzubillah. Jagalah anak dara kita. Hormat bulan puasa... Mungkin kerana inilah Allah lebih suka kita berada di masjid berbanding kita berada di pasar...
Sudahnya sampai bazar, makanan pertama yang dicari mesti nasi. Maklumlah, makanan ruji kan... Kalau perut aku ini, perut Melayu. Pasti nasi putih yang dicari. Tambah pula dengan lauk asam pedas ikan semilang. Cukuplah tu. Hehe...
Selain nasi putih, yang menjadi pilihan orang Malaysia ni tak lain tak bukan nasi beriani. Favourite aku juga tu. Tak kisahlah beriani ayam atau kambing mesti meleleh air liur punya.
Pilihan nasi lain mungkin nasi ayam atau nasi lemak. Tapi mungkin secara puratanya ramai yang memilih untuk berbuka dengan nasi putih. Kadang-kadang orang bujang macam aku ni, nasi dimasak sendiri. Jadi, keluar cari lauk sajalah nanti. Kalau di kampung tak takut sangatlah. Mesti buka dengan juadah yang sedap-sedap punya. Tapi kalau dah balik ke kampus kenalah berdikari sedikit. Kalau ikutkan sangat rasa malas tu, 'konfem' lah berbuka dengan air kosong saja.

Kalau dah masak nasi tu, keluar cari lauk sajalah. Sebelum keluar, niat dalam hati nak beli juadah yang simple saja. Taknaklah beli banyak-banyak sangat. Takut membazirlah katakan. Nanti lari bajet pula.
Sampai saja di bazar, tengok kanan ayam golek, tengok kiri ikan pari bakar. Mahunya tak tergugat iman. Mulalah berubah sikit niat tu, "takpalah... Tambah sikit lagi saja ni."
Mula-mula sedikit, lama-lama lagi tinggi dari bukit. Itu yang balik sampai tak cukup tangan nak pegang beg plastik.

Allahuakbar Allahuakbar...


Alhamdulillah, azan pun berkumandang. Laju saja tangan capai air katira yang dibeli. Memang segar diminum sejuk-sejuk. Habis segelas, baru terpandang buah kurma yang masih 'suci', tidak diusik. Barulah dicekut sebiji. Baguslah, ikut sunnah nabi...
Makan sebiji saja cukup, pasal tak rasa lapar sangat. Yang penting layan dulu dahaga tu. Tambah lagi segelas air katira. Ahhh... Leganya. Dipandang lauk di atas meja. Tak apalah, sembahyang dulu...
Bukan niatnya nak bersolat, tapi nak tenangkan perut yang rasanya sudah kekenyangan air. Pergi solat, habis nanti pasti lapar kembali.
Habis solat, kembali ke meja makan. Dilihat satu persatu juadah yang dibeli... Berselera kembali. Apa lagi...
Prung...Prang..Prung...Prang...!
Habis dibedalnya semua. Habis satu, ambil lagi satu. Wah, lapar betul ni!
Habis nasi, dicuit sedikit murtabak. Tak tahulah kenapa bila bulan puasa murtabak mesti jadi popular. Walhal aku tengok bulan tak puasa pun di kedai mamak atau kedai-kedai lain pun ada juga menjual murtabak tapi sambutannya taklah semeriah semasa bulan puasa. Rezeki kot.. Baraqah bulan Ramadhan.


“Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Habis murtabak diratah, dicapainya pula roti jala. Aduhai, meruntun jiwa melihat secebis roti jala itu dicicah ke dalam kuah kari, lalu dimasukkan ke dalam mulut serta dikunyah penuh nikmat. Ahhh... Terliur dibuatnya.
Memang betul-betul besar pengertian berbuka puasa. Semasa berbuka apa yang penting mesti makan. Rasulullah pun pernah bersabda dilambatkan waktu sahurmu, tapi bila menjelang waktu berbuka mesti disegerakan.
Bagus, ikut sunnah...
Selesai semua, tiba-tiba nak merasa jadi macam mat saleh. Nak ada pencuci mulut. baru teringat tadi ada beli Tau Foo Fah. Inilah yang dikatakan dalam western ada eastern.
Beli dua mangkuk Tau Foo Fah, cuba habiskan satu dulu. Yang lagi satu ni ingat nak simpan. Boleh makan malam nanti sambil tengok tv. Kuih pun ada tu. Baru makan sikit. Masih tak luak pun...

Erkkk...
Belahak panjang dibuatnya. Dilihat pinggan di atas meja. Rasa malas pula hendak di kemas. Mmm.. Nanti dululah. Hisap rokok dulu sambil mengambil angin diluar rumah.
Berkepul-kepul asap keluar dari rongga mulut dan hidung. Nikmat... Seharian tak 'pekene' rokok. Habis sebatang, cuba dicucuh lagi sebatang...
Kali ini, dengan rokok dimulut, tangan lincah mengemas meja makan. Pinggan dan mangkuk kotor dimasukkan ke dalam sinki. Basuh ala kadar sahaja. Dalam fikiran hanya teringat kerusi rehat di dapan sana. Mengah rasanya perut ni jika terus berdiri.
Lauk yang masih bersisa terus dibuang, padahal masih boleh dimakan. Mmm... Sahur? Belum tentu bangun nanti. Sama juga kena buang makanan ini.
Selesai semua, barulah rasa senang hati. Sambil baring-baring di kerusi rehat, dengan rokok setia meneman, lalai sebentar. Isyak dah masuk...
Dalam hati dah bermain kata, teruk bergelodak. Nak pergi terawih tak malam ni. Mmm... Tak apalah amalan sunat saja. Yang Fardhu, solat Isyak tu saja. Terbatal terus niat di awal puasa untuk solat terawih penuh di bulan puasa ini gara-gara perut sudah kepenuhan dengan makanan.

Bahawa Ibn Umar r.a. apabila dihidangkan untuknya makanan, manakala solat pula sedang didirikan, maka beliau tidak mendatangi solat melainkan hingga beliau selesai makan, sedangkan beliau mendengar bacaan imam. Ini kerana meninggalkan makanan dalam keadaan keinginan yang kuat untuk menjamahnya atau dalam perasaan lapar, boleh menghilangkan khusyuk di dalam solat, disebabkan ingatan terhadap makanan tersebut. Dengan itu para ulama menyatakan dimakruhkan solat setelah makanan terhidang di hadapan mata. Kata an-Nawawi (meninggal 676H): Di dalam hadis-hadis tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk.

(An-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 4/208, cetakan: Dar al-Khair, Beirut).

Dilihat di depan cermin. Aduh, buncit pula. Baru ingat nak kurangkan berat badan puasa ni. Ni mesti pasal makan banyak sangat tadi. Arghh... Menyesallah pula! Tak apa.. Aku janji esok aku tak nak makan banyak-banyak. Kalau pergi bazar nanti beli apa yang perlu saja. Tak nak membazir lagi.
Cuba membuat perjanjian dengan diri sendiri, sama seperti janji-janji semalam. Tapi tetap juga dimungkiri.
Lawaknya, bila ternampak perut yang semakin membuncit baru timbul rasa sedar tu. Dari tadi tak cakap apa pula. Habis membazir satu hari ini.
Aku bersyukur sebab Malaysia sentiasa dilindungi oleh Allah S.W.T. dari ancaman pihak musuh. Banyak dah rahmat dan rezeki yang Allah kurniakan kepada rakyat Malaysia ini. Paling ketara bila soal makan. Alhamdulillah, bekalan makanan di Malaysia ni masih ada. Belum habis lagi.
Mungkin kerana dilihatnya belum habis lagi lah, banyak pembaziran yang berlaku. Masalahnya, dalam bulan Ramadhan yang sepatutnya boleh mendidik kita agar berjimat cermat, terbalik pula jadinya. Sikap membazir berleluasa.
Mungkin kita dapat mendefinisikan berbuka bagi orang yang puasa itu dengan kekenyangan, perut yang buncit, jumlah juadah yang terhidang, jumlah juadah yang dijamah dan jumlah juadah yang tersisa. Tapi pernahkah kita fikir, bagaimana dengan orang yang tidak berpeluang seperti kita. Jawapannya, ya kita pernah terfikir. Tapi tetap saja seperti itu. Macamana agaknya nak ubah persepsi dan sikap kita ini...

Apa yang aku cuba sampaikan ini, bukannya bermaksud aku nak tunjuk pandai. Aku mengaku, aku sendiri ada kelemahan. Kata ganti nama 'kita' yang aku gunakan pun merujuk pada semua termasuklah aku sendiri. Mudah-mudahan aku sentiasa dapat mengingatkan diri aku. Berbuka bukan sahaja memberi pengertian bahawa kita mesti makan tetapi lebih luas daripada itu.
Jadi, mari kita sama-sama renungkan. Renung-renungkanlah makanan yang baru kita beli di bazar itu, renung-renungkanlah makanan yang kita baru hidangkan di meja makan itu, renung-renungkanlah makanan yang kita baru jamah sedikit itu dan renung-renungkanlah makanan yang baru kita buang kerana tidak dapat dihabiskan. Mudah-mudahan apa yang dicari akan kita temui, InsyaALLAH...
“Adalah Rasulullah s.a.w. apabila berbuka, Baginda bersabda: Telah hilanglah dahaga, telah basahlah peluh (hilang kekeringan) dan telah tetaplah pahala, insya-Allah.”

(Riwayat Abu Daud, sanadnya hasan)

Selamat bersahur, selamat berpuasa dan selamat berbuka...


Tuesday, August 25, 2009

Harapan Ramadhan (Raihan feat. Man Bai)

Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui
Dengan sempurna

Selangkah demi selangkah
Setahun sudah pun berlalu
Masa yang pantas berlalu
Hingga tak terasa ku berada
Di bulan Ramadhan semula

Puasa satu amalan
Sebagaimana yang diperintahNya
Moga dapat ku lenturkan
Nafsu yang selalu membelenggu diri
Tiada henti-henti

Tak ingin ku biarkan Ramadhan berlalu saja
Tuhan pimpinlah daku yang lemah
Mengharungi segalanya dengan sabar
Kita memohon pada Tuhan diberikan kekuatan
Ku merayu pada Tuhan diterima amalan

Selangkah demi selangkah...
Dengan rahmatMu oh Tuhanku...
Ku tempuh jua

Mendidik Anak

"Didiklah anak-anakmu itu berlainan dengan keadaan kamu sekarang kerana mereka telah dijadikan Tuhan untuk zaman yang bukan zaman engkau "
– Saidina Umar Al-Khattab


Lima Perkara Yang Menguntungkan Kita

Dari Abu Hurairah ra. bahwa Nabi saw. bersabda: "Di dalam bulan Ramadhan umatku diberi lima perkara yang tidak pernah diberikan kepada umat-umat sebelumnya:
Pertama : Bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kasturi.
Kedua : Para malaikat selalu meminta keampunan untuk mereka sehinggala mereka berbuka.
Ketiga : Setiap hari Allah menghias syurgaNya sambil berkata, 'Hamba-hambaKu yang solleh ingin melepas beban dan penderitaannya dan mereka rindu untuk memasukimu.'
Keempat : Pada bulan ini diikatlah syaitan-syaitan yang derhaka sehingga mereka tidak berleluasa mencapai apa yang dapat dicapainya pada bulan lain.
Kelima : Mereka diampuni oleh Allah SWT pada malam yang terakhir dari bulan itu.


Selamat Berpuasa, Selamat Tinggal, Selamat Hari Kebangsaan & Tolong Selamatkan Laptop Aku!!!



Asslamualaikum dan salam sejahtera para pembaca semua.
Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Illahi kerana masih dihidupkan olehNya, hingga masih sempat bertemu dengan bulan yang cukup baraqah, bulan Ramadhan al-Mubaraq. Rasanya masih belum terlambat bagi aku untuk mengucapkan selamat berpuasa kepada semua muslimin dan muslimat di seluruh dunia. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini, kita sentiasa mendapat taufik dan hidayahNya untuk mempersiapkan diri menjadi insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang di dunia dan di akhirat, InsyaALLAH...
Sudah seminggu lebih rasanya aku tidak dapat menulis di blog ini gara-gara laptop old-school ku ini dilanda masalah yang boleh membuatku sesak nafas. Mujur saja dengan bantuan Luqman, semuanya menjadi kembali normal.
Akibat daripada kerosakkan mesin inilah, aku ketinggalan untuk berkongsi beberapa coretan dengan pembaca. Maklum sajalah, minggu lepas juga merupakan hari terakhir aku, Hadi, Wan, Syed dan Abah berada di SK St. Paul, memegang tittle sebagai Che Gu praktikum. Pada hari terakhir, kami telah dirai dalam satu yang cukup hiba. Tak tahulah kenapa. Mungkin sebab pada hari yang sama merupakan hari terakhir seorang lagi guru yang akan menyambung pelajarannya ke Jepun. Sebab itulah Che Gu Erwan menyampaikan lagu Salam Terakhir di pentas perhimpunan. Menitis air mata Che Gu Siti. Tak tahu menangis sebab sedih kerana akan meninggalkan SK St. Paul atau menangis suka sebab tengok karenah Che Gu Erwan dan Che Gu Botak yang tak habis-habis menyakat.
Pada masa yang sama, turut diadakan majlis pelancaran Bulan Kemerdekaan di sekolah. Teruk juga Mat dan Anep yang hadir SK St. Paul sebagai guru PBS (Pengalaman Berasaskan Sekolah) selama seminggu kerana terpaksa menyiapkan segala persediaan untuk menjayakan Bulan Kemerdekaan.