Wednesday, December 17, 2008

Wajarkah Pembubaran Skuad Harimau Malaya?

Kekalahan skuad Malaysia atau lebih gah digelar Harimau Malaya, pada kejohanan AFF Suzuki baru-baru ini banyak menimbulkan keraguan dalam kalangan pemerhati dan peminat bolak sepak negara. Persoalan yang timbul merangkumi tahap permainan para pemain serta kewibawaan jurulatih dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam meningkatkan mutu bola sepak Malaysia.
Sebelum kejohanan ini bermula, perlaburan yang besar telah dikeluarkan oleh pihak persatuan dengan menghantar skuad berlatih dan menjalani perlawanan ujian di Slovakia. Adakah perlaburan tersebut cukup berbaloi dengan hasil yang dikecapi dalam kejohanan yang turut disertai oleh negara-negara jiran, Thailand, Vietnam, Laos, Indonesia, Myammar dan Singapura?
Apa masalah sebenar bola sepak Malaysia ini?
Sejak kekalahan Malaysia di kejohanan tersebut, pelbagai khabar yang aku dengar termasuklah mengenai pembubaran skuad Harimau Malaya yang cukup dikenali seantero dunia dulu. Tidak cukup dengan itu, langkah menamatkan kontrak jurulatih, B Sathianathan juga kedengaran.
Perlukan masa? Jika itu yang FAM mahu, bubarkan sahaja skuad bola sepak Malaysia. Jangan habiskan duit rakyat dengan janji-janji kosong. Laburkan sahaja wang tersebut untuk sukan yang betul-betul boleh dibanggakan. Mungkin dengan pembubaran ini, Malaysia akan lebih serius dalam melahirkan skuad yang begitu mantap seperti era Allahyarham Mokhtar Dahari, bermula dari liga tempatan. Bila sudah bersedia sepenuhnya, barulah Harimau Malaya Kembali mengaum di seluruh dunia.
Masalah bola sepak Malaysia ini bukanlah sesuatu yang baru. Sudah agak lama. Tetapi sampai bila harus dibincangkan?