Wednesday, June 10, 2009

Laskar Pelangi - Riri Riza (2008)

Filem : Laskar Pelangi
Pengarah : Riri Riza
Terbitan : Miles Production

Filem ini bukanlah satu-satunya filem Indonesia yang mampu membuatkan aku bangun di akhir ceritanya sambil memberi tepukkan paling gemuruh. Sebelum ini, aku sendiri sudah terpaku dengan hasil karya pengkarya-pengkarya dari seberang seperti Tentang Dia, Mengejar matahari, Ada Apa Dengan Cinta (semuanya hasil sentuhan Rudi Soejarwo), Ungu Violet (Rako Prijanto) serta Radit dan Jani (Upi). Terfikir sejenak, kenapa Malaysia tidak buat banyak filem-filem seperti ini?
Laskar Pelangi merupakan sebuah lagi filem yang diangkat dari sebuah novel popular Indonesia yang menggunakan judul yang sama hasil tulisan Andrea Hirata. Sebelum ini filem Ayat-Ayat Cinta juga direalistikkan ke layar perak berdasarkan novel hasil tulisan Haji Habiburrahman dan filem Tentang Dia yang diambil dari cerpen tulisan pemuzik handalan Indonesia, Melly Goeslow.
Mengangkat tema kemanusiaan dan menyamaratakan hak pendidikan, Laskar Pelangi berkisar tentang kehidupan anak-anak Blitong yang menyaksikan peluang dan kemudahan balajar mereka cukup terhad. Aku cukup terpukau dengan lakonan anak-anak dalam filem ini. Mereka berjaya menghidupkan watak seperti Ikal, Lintang, Sahara, Mahar, A Kiong, Syahdan, Kucai, Borek, Trapani dan Harun.


Tidak cukup dengan itu, kehadiran watak-watak Muslimah lakonan Cut Mini Theo memberi kepuasan untuk menonton. Tora Sudiro dan Slamet Rahardjo merupakan nama besar industri perfileman Indonesia yang turut mewarnai filem tersebut.
Paling aku suka ialah dengan kemunculan 'otai' filem di Indonesia, Alex Komang. Walaupun tidak melibatkan banyak babak dan dialog, lakonannya begitu menyerlah. Bagi aku pelakon seperti Alex tidak perlu bermain dengan dialog yang banyak pun sudah mampu menghidupkan wataknya.
Menyentuh soal sinematografi, filem ini tidak mengecewakan aku. Lokasi penggambarannya cantik dan menarik melambangkan keadaan Blitong pada tahun tersebut. Tahniah diucapkan pada produksi.
Susunan lagu dalam filem ini cukup menghiburkan hasil gubahan kumpulan popular Indonesia yang turut dikenali di seluruh dunia, Nidji. Paling menghiburkan sewaktu anak-anak Laskar Pelangi ini sama-sama menyanyikan lagu Seroja (jika di Malaysia lagu ini pernah dinyanyikan oleh Jamal Abdillah). Melalui filem inilah aku mula tahu rupanya lagu tersebut cukup masyhur.
Bagi aku filem ini cukup dekat dengan diri aku. Watak Ibu Muslimah dapat membuat aku sama merasakan 'kehebatan' memiliki anak-anak ini. Mungkin sebab aku bakal seorang guru dan aku sedar semua anak-anak di seluruh dunia ini patut mendapat peluang pendidikan.

Untuk maklumat lanjut : http://id.wikipedia.org/wiki/Laskar_Pelangi

Loghat penduduk Blitong tidak banyak bezanya dengan orang kita...
Jangan jadi orang yang menerima sebanyak-banyaknya,
Jadilah orang yang memberi sebanyak-banyaknya...

Tuesday, June 9, 2009

Selamat Kembali ke SK St. Paul!

Sedang duduk-duduk berehat tadi, aku terfikir tentang praktikum semester baru nanti. Sudah jelas aku, Hadi dan Wan akan kembali ke SK St. Paul, Seremban, sekolah praktikum semester lepas. Tak tahulah adakah ini berita baik mahupun berita buruk. Ada juga rakan-rakan yang lain mendapat sekolah yang jauh hinggakan terpaksa menyewa di luar asrama. Mmm... Aku? Boring juga nanti kalau budak-budak ni tak ada nanti.
Walauapapun, tahap kesukaran praktikum kali ini akan meningkat. Mudah-mudahan aku boleh tempuhi...

Kenangan melatih skuad SK St. Paul bersama Hadi hingga mendapat tempat ketiga dalam Kejohanan Bola Baling MSSMNS Zon Seremban Utara.