Wednesday, December 24, 2008

Situasi Berbeza : The Gunners dan Catalan

Ke'seri'an Arsenal sewaktu menentang Liverpool hujung minggu lalu banyak menimbulkan ketidakpuashatian ramai pihak. Paling ketara adalah penyokong biru dan kelab syaitan merah.
Kesukaran menyaksikan perlawanan getir tersebut di kampungku ini cukup membuatkan aku derita. Teringat kepada si Astro yang berada di blok asrama. Pasti kalau di sana aku dan Hadi sedang menjerit melawan teriakkan Judin dan Emi. Hardin menghantar sms menanyakan di mana akanku saksikan perlawanan tersebut. Aku diam, tidak membalas. Tidak pasti untuk menjawab apa. Coffee house di sini semuanya tutup awal, kalau buka pun tidak menayangkan perlawanan tersebut. Jadi, aku mengambil keputusan untuk menyaksikannya secara langsung melalui web Fantasysport. Biar tak nampak permainanya tapi aku tahu perkembangannya.

Kebimbangan pertama terasa apabila mendapat tahu Fabregas mengalami kecederaan selepas diasak rakan senegara, Xabi Alonso. Kecederaan tersebut memaksa The Young Star itu berehat selama 3 hingga 4 bulan. Untuk jangka masa pendek, persoalan yang timbul, adakah mampu The Gunners meraih mata dalam perlawanan tersebut? Untuk jangka masa panjang, siapakah yang layak mengambil posisi Fabregas lantas mengepalai skuad untuk perlawanan akan datang? Persoalan ini cukup merumitkan. Bagaimana Arsene Wenger akan merancang skuad selepas ini? Bagaimana pula Arsene Wenger hendak membalas kenyataan celupar kapten skuad syaitan merah? Tunggu sajalah nanti.
Kebimbangan kedua hadir sewaktu penyerang 'tenggelam timbul', Adebayor dilayangkan kad merah selepas dikatakan melakukan kesalahan terhadap Arbeloa. Adrenalin jantungku berdegup kencang sepanjang perlawanan yang menyaksikan Arsenal bermain sepuluh orang. Ditambah dengan kedudukan 1-1.

Bunyi sahaja wisel penamat, aku duduk bersandar di sofa, menarik nafas lega. Syukurlah dengan satu mata. Kira-kira dibuat dan jurang mata antara dua pasukan ini masih tidak berubah. Nampaknya pasukan biru dan syaitan merah perlu bekerja keras selepas Arsenal kurang berjaya menewaskan skuad Merah. Hampir terlupa, skuad Villa di taman Aston senyap-senyap cuba mendaki puncak.

Namun, perlawanan antara The Catalan menentang Villareal berjaya menggembirakan hatiku.
Kemenangan 2-1 Barcelona hasil jaringan Keita dan Henry sekali lagi kukongsi bersama Hadi yang tidak dapat menyaksikan perlawanan tersebut. Mujur sahaja untuk perlawanan ini, aku dapat saksikan secara langsung melalui siaran televisyen Indonesia, RCTI.
Jaringan awal Villareal melaui Cani membuatkan aku dan skuad tersentak tapi aku yakin untuk menang. Perlawanan tidak begitu laju. Tidak sepeti biasa Barca main. Mungkin disebabkan Pepe Guardiola tidak menurunkan skuad utama. Sergio Busquets menggantikan Iniesta yang masih cedera dan Gerard Pique yang mengambil posisi Marquez.

Messi, entah kenapa anak muda ini bermain seperti terkongkong. Pergerakkannya pun agak terbatas. Tiada lagi kelihatan larian solonya yang mampu memperdaya beberapa pertahanan lawan. Sudah 2 minggu, sama sahaja seperti melawan Real Madrid. Mungkin Messi agak berhati-hati, seperti di dalam kenyataannya, dia menjadi sasaran pihak lawan. Aku juga takut, bakal pemain terbaik dunia ini cedera sekali lagi.
Hantaran bebas Dani Alves ditanduk kemas Keita untuk gol penyamaan berjaya mengubah rentak permainan Barca. Begitu juga dengan gol kemenangan oleh Henry yang menyempurnakan hantaran cantik Xavi Hernandes. Namun, keseronokkan perlawanan itu agak terbantut. Agaknya memang terkena badi pasukan pilihanku malam ini. Sudahlah Adebayor, Pique juga terkena nasib yang sama. Mujur sahaja jaringan dapat dikekalkan hingga tamat perlawanan, menjadikan Barcelona kelab La Liga yang tidak tewas dalam 15 perlawanan berturut-turut.

Wednesday, December 17, 2008

Wajarkah Pembubaran Skuad Harimau Malaya?

Kekalahan skuad Malaysia atau lebih gah digelar Harimau Malaya, pada kejohanan AFF Suzuki baru-baru ini banyak menimbulkan keraguan dalam kalangan pemerhati dan peminat bolak sepak negara. Persoalan yang timbul merangkumi tahap permainan para pemain serta kewibawaan jurulatih dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam meningkatkan mutu bola sepak Malaysia.
Sebelum kejohanan ini bermula, perlaburan yang besar telah dikeluarkan oleh pihak persatuan dengan menghantar skuad berlatih dan menjalani perlawanan ujian di Slovakia. Adakah perlaburan tersebut cukup berbaloi dengan hasil yang dikecapi dalam kejohanan yang turut disertai oleh negara-negara jiran, Thailand, Vietnam, Laos, Indonesia, Myammar dan Singapura?
Apa masalah sebenar bola sepak Malaysia ini?
Sejak kekalahan Malaysia di kejohanan tersebut, pelbagai khabar yang aku dengar termasuklah mengenai pembubaran skuad Harimau Malaya yang cukup dikenali seantero dunia dulu. Tidak cukup dengan itu, langkah menamatkan kontrak jurulatih, B Sathianathan juga kedengaran.
Perlukan masa? Jika itu yang FAM mahu, bubarkan sahaja skuad bola sepak Malaysia. Jangan habiskan duit rakyat dengan janji-janji kosong. Laburkan sahaja wang tersebut untuk sukan yang betul-betul boleh dibanggakan. Mungkin dengan pembubaran ini, Malaysia akan lebih serius dalam melahirkan skuad yang begitu mantap seperti era Allahyarham Mokhtar Dahari, bermula dari liga tempatan. Bila sudah bersedia sepenuhnya, barulah Harimau Malaya Kembali mengaum di seluruh dunia.
Masalah bola sepak Malaysia ini bukanlah sesuatu yang baru. Sudah agak lama. Tetapi sampai bila harus dibincangkan?

Thursday, December 11, 2008

Hiba...

Tanganku lincah mengalihkan cursor pada perkataan 'Maswafi' pada menu sambungan di blog ku. Niat di hati ingin tahu perkembangan terbaru tentang sahabatku itu. Maklumlah, setelah tamat kursus di maktab, entah apa yang Uncle Maswafi lakukan. Rindu? Mmmm... Bolehlah, sikit. Rasanya rindu lagi pada si dia di sana.
Terbuka sahaja blog Maswafi, aku sudah boleh menebak dia sudah menulis coretan terbaru. Kubaca perlahan-lahan, dari mula hingga penghabisnya.
Aku menarik nafas panjang. Hiba rasanya. Setelah tamat kursus ni, entah kami akan jumpa lagi atau tidak.
Kubuka pula blog sahabat malamku, Emi dengan harapan ada juga coretan terbaru daripadanya. Ah, bertambah hiba perasaan ini sewaktu membacanya. Aku tidak boleh lama menonton blognya, bimbang rintik hujan akan menuruni dari celah-celah mataku.
Ingatanku kembali menerawang mengingat kembali sahabatku yang lebih layak bergelar abang. Uncle Maswafi, Emi, Pravindan, Zahir, Mijat, Helmi, Long, Paly, Tom, Pesal dan paling kukenang Abe Li. Aku hanya mampu berharap mereka gembira sentiasa di samping orang tersayang dan semoga kita berjumpa lagi....

Oh,hiba...
Memang waktu ini kaulah temanku...
La...La....La...
;-(

Friday, December 5, 2008

Apa Itu Laras Bahasa?

Hubungan antara bahasa dan masyarakat begitu erat dan tidak dapat dipisahkan. Semakin luas bahasa digunakan, semakin banyak pula penggunanya. Bahasa sebagai wahana komunikasi digunakan untuk memperkatakan bermacam-macam hal, aspek, bidang dan peristiwa.
Konsep laras atau register telah diperkatakan oleh seorang ahli linguistik barat bernama Reid pada tahun 1956.
Konsep dan Pengertian Laras
Laras bahasa ialah sesuatu variasi bahasa yang mempunyai ciri-ciri khusus dalam penggunaannya mengikut bidang.Secara umumnya,laras bahasa bermaksud gaya atau cara bahasa yang digunakan untuk menyampaikan maklumat, maksud dan tujuan sama ada secara lisan atau bertulis.
Apa kata tokoh-tokoh luar negara dan tempatan mengenai definisi laras bahasa?
  1. Ure dan Ellis telah menyatakan pada 1977 bahawa laras bahasa adalah sejenis pencorakan bahasa yang kerap kali digunakan dalam sesuatu situasi komunikatif
  2. Za’ba (1962) menerangkan laras ialah rupa susuk bahasa yang dipakai apabila bercakap atau mengarang, iaitu tentang perkataannya, ikatan ayatnya, jalan bahasanya, cara susunannya atau bentuk peribahasanya
  3. Halliday (1968) mendefinisikannya sebagi variasi bahasa berlainan berdasarkan fungsi atau dengan kata yang lebih mudah laras berubah mengikut situasi. Beliau mendasarkan perbezaan laras yang digunakan kepada dua faktor, iaitu pengguna dan penggunaan. Variasi bahasa yang timbul yang berkaitan dengan penggunanya, iaitu yang melibatkan tempat asal seseorang ialah dialek dan variasi bahasa yang berkaitan dengan penggunaannya, iaitu yang berlainan mengikut kumpulan sosial yang menggunakannya ialah register atau laras
  4. Naomi S. Baron (1979) mentakrifkan laras sebagai variasi linguistik (linguistic variation) yang ditentukan oleh keadaan sosial yang wujud pada ketika tertentu
  5. Dwight Bolinger (1981) dan rakannya mendefinisikan laras sebagai bentuk atau variasi bahasa yang digunakan dalam peristiwa berkomunikasi dan mereka menambah, laras dengan bentuk bahasa yang digunakan dalam ucapan umum seperti yang digunakan oleh seseorang pemidato saling berkaitan
  6. D.A. Wilkins (1982) mentakrifkan laras sebagai satu gaya bahasa yang berhubung kait dengan pekerjaan
  7. Nik Safiah Karim (1982) bersependapat dengan Halliday kerana setiap anggota masyarakat akan menggunakan beberapa laras yang berbeza mengikut keperluannya
  8. Brian Seaton (1982) mengeluarkan pendapat bahawa laras ialah satu variasi bahasa yang wujud daripada situasi yang berlainan seperti umur, jantina dan tajuk percakapan
  9. Asmah (1987) pula menyatakan ciri-ciri khusus dalam penggunaan bahasa menurut bidang penggunaannya
  10. Abdullah Hassan (1989) menyebut pemakaian kata-kata tertentu yang sesuai dengan konteksnya itu, adalah sesuatu yang dikatakan laras bahasa
  11. Raminah Hj. Sabran (1989) menjelaskan setiap bahsa mempunyai beberapa laras yang tersendiri yang digunakan dalam situas atau konteks yang berbeza

Misi Emas Mersing

Tarikh : 29 November 2008, Sabtu
Lokasi : Kampung Seri Pantai, Mersing, Johor Darul Takzim

Mersing bukanlah tempat 'permainanku'. Seumur hidupku, aku hanya pernah menjejakkan kaki ke tanahnya hanya tiga kali. Pertama, ketika menaiki bot dari jeti Mersing ke Kampung Juara di Pulau Tioman; kedua ketika pulang dari Kampung Juara dan ketiga ketika mengambil beg sahabatku, Rush yang tertinggal di sana.
Kehadiranku semula ke tanah Mersing selepas 2 tahun bukanlah disebabkan kerana sifat gelojoh mahu mendapatkan emas dari perutnya malah lebih dari itu... Pengalaman.
Lama sudah kurancang aktiviti ini bersama Ijal Musa, Afiq, Sep, Ayob dan Kepang. Bermacam khabar yang aku sendiri dengar tentang kewujudan emas dari pepasirnya. Hendak dipercaya takut tak boleh dipercayai, tak percaya takut boleh dipercayai pula.
Kisah penemuan emas di pantai Mersing heboh sejak akhir tahun lalu. Beberapa penduduk kampung menjumpai emas dari perut pantai Mersing. Maka wujudlah beberapa spekulasi. Ada yang mengatakan emas tersebut datangnya daripada orang bunyian atau bunian yang tinggal di kawasan tersebut. Diceritakan, masyarakat bunyian ini hendak berpindah ke tempat lain. Dalam perjalanan ke destinasi baru, ada beberapa barangan mereka yang terjatuh di atas pantai tapi dibiarkan. Dari mulut lain pula, dikisahkan bahawa pada zaman dahulu terdapat sebuah kapal lanun berlabuh di pantai tersebut. Emas yang dijumpai sekarang adalah peninggalan harta karun yang dimiliki oleh lanun-lanun. Pendapat lain dari segi geologi mungkin kawasan pantai tersebut memang kaya dengan hasil emas. Mana satu yang benar, wallahualam.
Pergerakkan aku dan rakan-rakanku bermula pada jam 3.30 petang menuju ke Mersing. Menyedari perjalanan sudah terlewat seperti yang dirancang, kami perlu bersedia dari segi mental dan psikologi. Kuali dan penyodok tidak dilupakan, sekadar mencuba nasib. Untung sabut timbul.
Bagi aku sendiri, pemergian ke Mersing bukanlah untuk emas semata-mata tetapi mencari pengalaman mengembara serta memenuhi masa cuti ini dengan aktiviti yang sihat dan menyeronokkan. Naik sebu fikiranku jika hanya menghabiskan masaku di rumah sahaja.
Perjalanan kami, empat buah motosikal; mengambil masa lebih kurang 3 jam untuk sampai ke destinasi. Keperitan pada punggung cukup terasa sewaktu berhenti berehat di surau Kampung Air Puteri, Mersing. Setelah berjemaah fardhu Asar, kami meneruskan perjalanan mencari destinasi emas seperti yang diuar-uarkan. Masalah yang kami hadapi adalah kesemuanya tidak tahu lokasi yang betul. Bertemankan semangat dan keyakinan kami cuba 'merogol' semua jalan yang ada di situ dan akhirnya sampai di pantai Kampung Seri Pantai.

Jumpa sahaja tempat yang sesuai untuk 'berkelah', kami segera menukar baju basahan sebelum memulakan aktiviti menggali emas. Motor dibawa turun ke pantai bagi menandakan tempat tersebut adalah 'port' kami. Buka apa, takut ada yang termasuk ke kawasan kami, seperti yang kami lakukan sebelum sampai ke situ. Termasuk pula ke kawasan 'singa' sedang mengawan. Elok sahaja si jantan dan si betina berpelukkan menahan sejuk bayu dari laut.
Keadaan petang itu agak lengang. Seperti cerita emas yang mula surut kedengaran. Mungkin kerana kami yang terlewat menyusul. Entah ada ke tidak emasnya, getus hati kecil ini. Dilihat ke kiri dan ke kanan, kami sekadar terlihat beberapa orang sedang mecari siput dan ketam dicelah-celah batu. Segan pula dibuatnya. Sudahlah tidak tahu lokasi yang sesuai, di tambah lagi dengan kami yang jahil ilmu mendulang ini. "Cari tempat berpasir, dik," tingkah seorang kakak yang dari tadi melihat aksi kami. Semua terkulat-kulat dan segera menurut, mencari kawasan berpasir, bukan di laut!


Kesabaran sahaja yang menemani kami sepanjang meneroka isi pasir pantai Mersing. Letih menggali pasir sedalam satu hasta, masing-masing mula melihat ke langit, mohon hari semakin gelap. Malas rasanya hendak meneruskan hajat mencari emas ini. Sudahlah terpaksa menggali lubang yang dalam, bertakung air pula dan ditambah dengan penemuan lapisan pasir yang terdapat cengekerang siput dan kerang.
Aaahh... Sudahlah! Aku sudah malas. Aku menggenggam pasir lalu dibulat-bulatkan lalu dilemparkan ke udara. Masing-masing lari bertempiaran takut terkena kepala lantas mengotorkan baju. Aktiviti petang bertukar menu menjadi main perang-perang. Apa-apa sajalah...

Senja kian berlabuh. Kami bergegas mengemaskan apa yang patut. Perjalanan pulang mesti dimulakan. Takut terlewat. Bukan terlewat sampai ke rumah, terpaksa mengejar stesen minyak di Tenggaroh. Takut tutup pula.

Masa, hidup, pengalaman... Emas!

Monday, December 1, 2008

Penyakit Kelamin - Gonorea

Penyakit Jangkitan Seks ialah penyakit yang biasanya disebarkan melalui hubungan seks. Penyakit ini terjadi kerana seseorang itu mengamalkan seks bebas, bertukar-tukar pasangan seks dan mengunjungi pelacur. Penyakit jangkitan seks mempengaruhi organ seks dan organ lain. Gonorea dan sifilis ialah penyakit jangkitan seks yang paling biasa berlaku. AIDS ialah penyakit jangkitan seks yang paling berbahaya kerana masih tiada penawar.
Menurut Dr. Maryani Md Nor dari Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), seks bebas boleh ditafsirkan sebagai perhubungan seks tanpa nikah yang semakin menular dalam kalangan remaja di Malaysia. Hampir 27 peratus daipada remaja Malaysia terlibat dalam gejala seks bebas ini. Hubungan seks secara ini mampu membawa kepada masalah penyakit kelamin. Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah mengeluarkan anggaran, seorang daripada 20 remaja di dunia dijangkiti penyakit kelamin setiap tahun dengan sejumlah 333 juta kes baru penyakit kelamin, 111 juta kes berlaku dalam kalangan mereka yang berumur di bawah 25 tahun. Hubungan seks bebas yang tiada perlindungan boleh menyebabkan peningkatan kepada risiko pengguguran kandungan oleh remaja perempuan yang masih mentah serta yang paling dibimbangkan adalah jangkitan penyakit kelamin seperti gonorea, sifilis dan yang berbahaya,AIDS.
Berdasarkan Kaji Selidik Penyakit dan Kesihatan Negara di bawah Kementerian Kesihatan, penglibatan remaja dalam hubungan seks luar nikah di Malaysia adalah 1.8 peratus pada 1996. Jumlah yang paling tinggi adalah di kalangan remaja perempuan iaitu 2.5 peratus berbanding remaja lelaki sebanyak 1.2 peratus.
Penyakit gonorea merupakan salah satu penyakit kelamin – Sex Transmitted Disease (STD). Mengikut statistik yang telah dikeluarkan, sebanyak 62 juta kes telah dilaporkan dalam masa satu tahun di seluruh dunia. Ini menunjukkan penyakit yang disebarkan oleh sejenis bakteria, neisseria gonorrhoeae ini berada dalam peringkat yang membimbangkan. Secara purata, setiap hari lebih 100 ribu kes telah dikesan.

Neisseria Gonorrhoeae adalah bakteria yang menyebarkan penyakit ini. Jangkitan bakteria ini kebiasaannya adalah melalui hubungan kelamin dan kebiasaannya menjangkiti membran mukosa pada uretra bagi lelaki dan bahagian mulut rahim bagi perempuan. Jangkitan ini akan menyebabkan kuman disebarkan ke pelbagai tisu. Bakteria yang berdiameter 0.6 hingga 1.0 µm ini juga, kebiasaannya berpasangan dengan bahagian sisinya leper. Organisma ini selalu dijumpai pada sel dalaman di polymorphonuclear leukocytes.
Selain itu, bakteria neisseria gonorrhoeae juga menjangkiti orang lelaki melalui saluran kencing, epidimis iaitu sebahagian daripada testis serta kelenjar cowper’s. Bagi orang perempuan pula, bakteria ini juga merebak melalui saluran kencing, serviks, rahim, tiub fallopio dan kelenjar kemaluan seperti kelenjar bartholin yang terdapat pada bibir kemaluan dan kelenjar skene’s pada bahagian bawah lubang saluran kencing.
Menurut kata Dr. Sa’da Darira, Pakar Kulit dan Kelamin di Indonesia, virus ini tidak hanya menjangkiti lapisan dalam uretra, leher rahim dan rektum. Maksudnya, jangkitan penyakit ini bukan sahaja berlaku pada permukaan mukosa di saluran kemaluan dan organ reproduktif tetapi pada permukaan mukosa di dubur, mata, rektum, mulut dan tekak. Beliau berkata, penyakit gonorea ini menular melalui media tertentu seperti melakukan hubungan seks dengan penderita penyakit gonorea. Risiko untuk berjangkit bagi seseorang yang melakukan hubungan kelamin dengan individu yang menghidap gonorea ialah antara 30 hingga 70 peratus. Beliau menerangkan, jangkitan pada tekak berlaku apabila pasangan itu melakukan hubungan seks melalui mulut atau oral seks. Jika salah seorang daripadanya penghidap gonorea, ini akan menyebabkan jangkitan pada pasangannya. Walaubagaimanapun, jangkitan itu tidak menimbulkan gejala tetapi kadangkala menyebabkan tekak perit dan gangguan untuk menelan.Selain daripada melalui hubungan kelamin, beliau turut mengakui menggunakan pakaian, kain balutan dan peralatan lain juga mampu menyebarkan virus ini.
Mengikut satu kajian, Bayi juga boleh dijangkiti apabila dilahirkan oleh ibu yang menghidap gonorea. Kira-kira 30 peratus dari bayi ini akan mendapat permasalahan sakit mata (bertahi mata) pada minggu pertama dilahirkan.

Pada kebiasaannya, selepas 3 hingga 10 hari lelaki bersetubuh dengan perempuan yang menghidap penyakit gonorea, saluran kencing mereka akan mengeluarkan cecair. Kadangkala pesakit akan menghadapi kesukaran ketika membuang air kecil.
Dr. Sa’da Barira menyatakan bahawa simptom bermula dengan rasa tidak selesa pada uretra. Ia diikuti dengan kepedihan terutama ketika membuang air. Keadaan ini akan bertambah buruk apabila keluar nanah dari saluran kencing. Jika bakteria menjangkiti kawasan uretra, pesakit akan berasa seperti dibakar ketika membuang air. Pesakit pula akan kerap membuang air kerana berasa bahan yang dikeluarkan masih belum lawas. Selain air kencing terasa panas, kotoran berwarna putih terang seperti susu akan keluar dari uretra. Kotoran itu akan berubah menjadi hijau kekuningan. Untuk beberapa kes, alat sulit lelaki akan kelihatan lemah dan lembik.

Pada perempuan, gonorea dapat menjangkiti mulut rahim tetapi pada sebahagian kes pesakit tidak akan menunjukkan apa-apa simptom. Tiada sebarang tanda yang khusus dapat menandakan penyakit ini. Cairan yang keluar dari faraj terpaksa dipastikan sama ada mengandungi neisseria gonorrhoeae sebelum membuat diagnosa dan memberikan jawapan. Simptom awal kebiasaannya timbul lebih lambat serta tidak ada tanda-tanda seperti orang lelaki.
Bagi pesakit gonorea yang teruk, mereka akan mengalami keputihan tetapi warnanya kuning kehijauan. Kadangkala ia berdarah dan bernanah. Dr. Sa’da Barira berkata jangkitan akan menyerang leher rahim, rahim, saluran telur, uretra dan rektum serta menyebabkan pedih pada pinggul ketika melakukan hubungan seks.
Jangkitan pada mulut biasanya menghasilkan gejala seperti pesakit mengalami kesakitan pada tekak dan jangkitan pada anus akan menyebabkan ketidakselesaan serta kegatalan yang boleh mengakibatkan nanah keluar dan pendarahan.
Bagi lelaki, bakteria akan merebak ke uretra. Ini akan memburukkan keadaan prostat, saluran mani, kelenjar cowper dan bahagian epidimisnya. Penyebaran bakteria ini selalunya disertai dengan nanah yang menyebabkan rasa sakit kepada pesakit. Nanah tersebut akan keluar melalui uretra dan anus. Lebih menyeksakan lagi jika terdapat jangkitan pada epidimis kerana boleh membawa kepada kemandulan.
Selain itu, jangkitan bakteria neisseria gonorrhoeae ini juga memberi kesan seperti zakar dan kelenjar di bawah saluran kencing akan membesar. Apabila penyakit gonorea ini merebak ke seluruh tubuh dan bukan sahaja pada bahagian organ reproduktif, ia boleh menyebabkan sakit pada bahagian sendi, jangkitan pada kulit yang disebut dermatitis serta jangkitan pada selaput jantung dan otak.
Kesan yang boleh membawa masalah ialah pada kelenjar bartholin yang dijangkiti bakteria neisseria gonorrhoeae. Jika pembengkakkan menghalangi salur vagina, maka bahagian vulva bawah akan mengalami kesakitan dan menjadi merah pada bahagian yang dijangkiti. Keadaan menjadi semakin teruk apabila jangkitan itu merebak dari kelenjar bartholin ke uterus (rahim). Pesakit akan mengalami kesakitan pada pelvis dan membawa kepada penyakit pelvic inflammotary disease (PID). Jangkitan ini turut menyebabkan kelenjar tersebut bernanah. Bahagian tiub fallopio dan ovari juga akan membengkak. Keadaan ini boleh menyebabkan tiub fallopio tersumbat. Nanah dalam saluran tiub atau ovari yang terkumpul memerlukan pembedahan untuk mengeluarkannya. Selain itu, gonorea akan merebakkan jangkitannya ke bahagian hati. Jika tidak dirawat, bakteria akan merebak melalui darah ke bahagian tubuh yang lain.
Diagnosis penyakit gonorea boleh dilakukan dengan pemeriksaan mikroskopik terhadap nanah untuk menetukan sama ada ia mengandungi bakteria neisseria gonorrhoeae atau tidak. Jika pemeriksaan ini tidak menjumpai sebarang bakteria, maka pembiakan akan dilakukan secara makmal.
Gonorea selalunya diubati dengan suntikan seftriakson intamuscular atau dengan pemberian antibiotik per-oral (melalui mulut) selama seminggu. Lazimnya pesakit diberi antibiotik jenis doksisiklin. Jika gonorea merebak melalui aliran darah, pesakit akan dibawa ke hospital dan mendapatkan antibiotik intravena atau melalui pembuluh darah.
Terdapat ubat-ubatan untuk merawat penyakit gonorea secara berkesan. Namun, terdapat juga masalah ketahanan antibiotik (antibiotic resistance) oleh organisma ini. Lazimnya, ubat antibiotik sudah tidak dapat pelbagai kesan untuk membunuhnya. Oleh itu, antibiotik yang lebih kuat akan diberikan. Kebiasaannya, jika seseorang itu mendapat penyakit ini, maka dia akan dijangkiti penyakit sifilis pada masa yang sama. Bagi wanita dan lelaki yang menghidap gonorea pula bakal berhadapan dengan jangkitan HIV. Doktor kebiasaannya akan memberi antibiotik seperti penisilin dan tetracycline yang efektif untuk menentang gonorea. Jika bakteria tersebut semakin memudaratkan doktor akan memberi antibiotik lain seperti cefixime dan ciprofloxacin.
Antibiotik yang digunakan untuk merawat penyakit gonorea adalah seperti berikut :
Ubat cucuk
• Ceftriaxone (roxephin) 125 hingga 250 mg untuk suntikan intramuscular
• Spectynomycin 2 g untuk suntikan intramuscular
• Cefotaxime 500 mg untuk suntikan intramuscular
• Cefotixin 2 g untuk suntikan intramuscular, tambahan probenecid 1 g
Ubat makan
• Cefixime 400 mg
• Cefpodoxime (vantin) 400 mg
• Ciprofloxacin 500 mg
• Ofloxacin 400 mg
• Levofloxacin 250 mg
• Azithromycin 2 g
• Amoxycillin 2 g, tambahan probenecid 1 g
• Ampicillin 2 hingga 3 g, tambahan probenecid 1 g
Gonorea juga mampu menjangkiti bayi yang baru lahir kerana bayi ini boleh terkena bakteria dari ibunya selama proses persalinan sehingga terjadi bengkakkan pada kelopak matanya dan dari matanya akan keluar nanah. Jika masalah ini tidak dicegah atau diubati, bayi akan buta.
Gonorea tidak menunjukkan sebarang gejala di kalangan perempuan. Namun ia boleh menyebabkan lelehan pada faraj atau rasa pedih ketika membuang air kecil. Bakteria ini dapat menyebabkan demam, sakit sendi atau ruam pada kulit. Secara tidak langsung ia boleh merebak pada bayi semasa dilahirkan. Semua wanita harus menjalani pemeriksaan gonorea diawal kehamilan. Pengesanan ini bagi mengelakkan komplikasi terhadap ibu dan bayinya.
Dari sudut pandangan Islam, langkah mencegah adalah lebih baik daripada usaha memperbaiki atau mengatasi masalah yang timbul daripada masalah sosial ini.
Rasulullah S.A.W bersabda, “Hai,golongan Muhajirin! Ada lima perkara jika kamu ditimpa atau ia berlaku di lingkunagan kamu. Saya berlindung kepada Allah jika hal itu wujud di antara kamu. Apabila satu kaum bercabul perzinaan sampai mereka melakukannya secara terang-terangan, maka mereka akan diserang oleh penyakit yang belum pernah dialami oleh nenek moyang mereka.” Hadith riwayat Ibnu Majah.

'Pendidikan Jasmani dan Keshatan : Pendidikan Seksualiti'