Thursday, January 20, 2011

The Song of Sparrow : Keindahan Lukisan Minda Majid Majidi



Filem : The Song of Sparrow
Pengarah : Majid Majidi
Terbitan : 


Apa impian anda? Apa harapan untuk impian anda itu? 


Aku pun ada impian dan harapan aku impian itu akan menjadi kenyataan. Biar lambat, biar susah mana pun aku takkan pernah lupa untuk memasang impian, walaupun kadang-kadang aku sedar impian aku itu hanya tinggal impian. Huhu... Bilalah boleh pergi Stadium Emirates dan Nou Camp yek?


Entah bila kali terakhir aku menonton filem yang penuh hiasan seni. Aku pun dah lupa. Rentetan air tangan  'magis' arwah Yasmin Ahmad masih terngiang-ngiang bermain di kotak fikiran. Mungkin kerana lukisan minda Yasmin sebiji dengan pemikiran pengarah tersohor, Majid Majidi.


Siapa Majid Majidi?


Pengarah yang berjaya memikat hati aku dengan buah tangan terdahulu, Children of Heaven. Sesetengah orang akan mempersoalkan kenapa aku minat dengan filem-filem macam tu. Pergerakan cerita yang lambat, tak banyak dialog dan tiada superstar yang cantik-cantik menghiasi pandangan kita. Jawapan aku senang saja kerana aku suka. Dalam Children of Heaven, Majid Majidi hanya berpaksikan pada lakonan beberapa orang pelakon kanak-kanak dan ia sudah cukup rencah untuk dinikmati.


Begitu juga dalam The Song of Sparrow. Mendengar saja Majid Majidi adalah terajunya, aku tak berlengah memohon pada rakan yang rajin men'download'. 


Apa yang istimewanya filem ini?


Filem ini dekat dengan aku. Kisah orang kelas pertegahan, yang bekerja untuk sesuap nasi, menampung hidup keluarga. Sesekali terfikir juga, kenapa kita tidak dilahirkan sebagai seorang yang berharta. Kalau sudah kaya tak menjadi masalah untuk membeli alat pendengaran yang lebih mahal dan berkesan. Nasib, kita yang ubah. Apa guna kita bermimpi kalau tiada harapan, duduk di kedai kopi dan hanya berkata, "kalau aku kaya... bla bla bla bla..." Lupakan sajalah.


Ketepikan persoalan cara watak Kareem bersembahyang, isi filem ini mampu membuatkan air mata aku bergenang (belum tumpah lagi yek!). Susah payah membesarkan anak-anak, menampung perbelanjaan keluarga, itu saja sudah cukup melembutkan hati yang keras. Mungkin babak yang paling berkesan adalah sewaktu bekas ikan-ikan anak Kareem terlungkup dan pecah, ikan bertaburan (lihat pada poster filem). Apa lagi yang boleh dibuat selain membiarkannya terus hidup di dalam longkang. 


Kredit perlu diberi pada kesemua yang terlibat dalam filem ini. Semuanya memainkan peranan dengan bagus. Pelakon, pengarah, teknikal dan sinemafotografi yang cantik, cukup berkesan di hati.


"Aku meyetujui, ya, filem Islam, filem yang berdakwah boleh dilakukan, boleh dibikin, tetapi mereka haruslah berkiblatkan dengan mazhab Majid Majidi, kerana ianya, seseungguhnya suatu pengalaman dan pemahaman Islami yang indah dan tidak pernah menghampakan, dan masih berjaya melangkau kemanusiaan yang sarwajagat." - Fadz.


Aku agak keliru, adakah lalat yang selalu bermain di hidung Kareem tu merupakan seekor lalat yang dilatih untuk babak berkenaan!