Friday, December 31, 2010

Antologi Rindu

Jam sudah menunjukkan tepat pukul 1.30 pagi tetapi matanya masih belum boleh dilelapkan. Novel Ombak Rindu tulisan Fauziah Ashari sudah diselesaikan hampir setengah jam lalu tapi matanya masih segar hingga sekarang. Entah kenapa perasaan rindunya terhadap Nik Sofian kembali bertalu-talu menyerang ke dalam hatinya.
Haziqah mengetap bibirnya, menahan betapa sakitnya rindu ini. Bantal dipeluk erat dengan harapan dirinya bertambah kuat melawan perasaan itu.
“Kenapa abang tinggalkan Jiqah?” Terurai jua air mata Haziqah. Sedu-sedan cuba ditahan supaya tiada yang mendengar. Malam itu dia terlalu merindui Nik Sofian.

~~~~~~~~~~ * ~~~~~~~~~~

Best filem tadikan?” Panjang lebar senyuman Nik Sofian. Haziqah hanya tersenyum tanda setuju dengan suaminya. Hari ini dia sangat gembira kerana Nik Sofian dapat meluangkan masa bersamanya. Sudah lama mereka tidak keluar berlibur. Nik Sofian terlalu serius bekerja orangnya dan kerana itulah Haziqah cemburu  bila suaminya terlalu banyak menghabiskan masa bersama ‘madunya’ itu. Namun, hari ini Nik Sofian cuti. Kesempatan inilah yang digunakan Haziqah untuk bersama suami tercinta menonton filem Sepet bersama.
”Jiqah,” tingkah Nik Sofian. “Kalau ditakdirkan abang pergi dulu, Jiqah merana tak?”
Haziqah hanya tertawa kecil melihat kaletah suaminya yang meniru skrip filem yang ditonton mereka tadi.
“Ketawa pula dia. Jawablah.”
“Erm... Merana.” Senyuman masih tak lepas dari bibir mungil Haziqah. Ditatapnya wajah Nik Sofian yang sudah tiga bulan bergelar suaminya. Nik Sofian agak serius ketika itu. “Kenapa serius sangat ni. Tahulah awak minat Harith Iskandar.” Berderai tawa kecil Haziqah.

Nik Sofian berdengus kecil, membunuh senyuman Haziqah. “Kenapa ni, bang?” Tangan Nik Sofian digenggam kemas. Ada sesuatu yang cuba disembunyikan dibalik kegelisahan suaminya. Nik Sofian melabuhkan punggungnya ke atas sebuah bangku. Haziqah menuruti. Tangan suaminya masih tidak dilepaskan.
“Abang kalau boleh tak nak Jiqah merana kalau abang tak ada lagi nanti.”
“Apa abang cakap ni?”
Nik Sofian menatap wajah isterinya. Senyuman tawar diukir. “Tak ada apa-apalah.” Haziqah terkedu. “Macam dalam filem Sepet tu, abang pun tak nak Jiqah merana.”
So?” Tersekat-sekat suara Haziqah.
So, nanti biar Jiqah pergi dulu,” tawa Nik Sofian kembali berbunga. Dirangkul kemas tubuh kecil isterinya. Haziqah hanya menuruti tingkah suaminya, langsung tak dihirau mata yang memandang mereka berdua. Lantaklah, kami dah kahwin! Getus hati kecilnya.
“Tapi,” masih tersekat lagi suara Haziqah tapi digagahkan juga. “Kalau Jiqah pergi dulu, nanti abang yang merana.”
Nik Sofian menghela nafas panjang, “Tak apa, biar abang yang merana.” Pelukan Nik Sofian semakin kukuh. Haziqah mula menitis air matanya. Entah kenapa perasaanya begitu terharu ketika itu.
“Biar abang yang merana.” 

~~~~~~~~~~ * ~~~~~~~~~~

Air mata mula membasahi bantal. Haziqah tidak dapat menahan deraian air matanya. Suara romantis dan keletah Nik Sofian masih bermain-main dikotak memorinya. Semakin cuba dilupakan, semakin pantas hatinya merasa rindu dan malam itu membuktikan Haziqah masih terasa kepergian Nik Sofian hampir sebulan lalu akibat kanser hati yang dirahsiakannya.
“Kenapa?” Getus Haziqah dengan suara tersekat-sekat menahan hiba. “Kenapa abang yang pergi dulu. Abang mungkir janji...” Malam itu terasa panjang dan air mata Haziqah masih berlinangan.

"Antologi Rindu"
1655
31122010

3 comments:

ah cai said...

aku rasa pernah baca ombak rindu...

cryclown said...

ko nagis tak? cam mat ros tengok sepi..hahahha

Al-Hadi said...

haha...acai nages sambil megelap menggunakan bulu2 nya yg tebal


p/s : jgn mara chai..haha...