Friday, December 5, 2008

Apa Itu Laras Bahasa?

Hubungan antara bahasa dan masyarakat begitu erat dan tidak dapat dipisahkan. Semakin luas bahasa digunakan, semakin banyak pula penggunanya. Bahasa sebagai wahana komunikasi digunakan untuk memperkatakan bermacam-macam hal, aspek, bidang dan peristiwa.
Konsep laras atau register telah diperkatakan oleh seorang ahli linguistik barat bernama Reid pada tahun 1956.
Konsep dan Pengertian Laras
Laras bahasa ialah sesuatu variasi bahasa yang mempunyai ciri-ciri khusus dalam penggunaannya mengikut bidang.Secara umumnya,laras bahasa bermaksud gaya atau cara bahasa yang digunakan untuk menyampaikan maklumat, maksud dan tujuan sama ada secara lisan atau bertulis.
Apa kata tokoh-tokoh luar negara dan tempatan mengenai definisi laras bahasa?
  1. Ure dan Ellis telah menyatakan pada 1977 bahawa laras bahasa adalah sejenis pencorakan bahasa yang kerap kali digunakan dalam sesuatu situasi komunikatif
  2. Za’ba (1962) menerangkan laras ialah rupa susuk bahasa yang dipakai apabila bercakap atau mengarang, iaitu tentang perkataannya, ikatan ayatnya, jalan bahasanya, cara susunannya atau bentuk peribahasanya
  3. Halliday (1968) mendefinisikannya sebagi variasi bahasa berlainan berdasarkan fungsi atau dengan kata yang lebih mudah laras berubah mengikut situasi. Beliau mendasarkan perbezaan laras yang digunakan kepada dua faktor, iaitu pengguna dan penggunaan. Variasi bahasa yang timbul yang berkaitan dengan penggunanya, iaitu yang melibatkan tempat asal seseorang ialah dialek dan variasi bahasa yang berkaitan dengan penggunaannya, iaitu yang berlainan mengikut kumpulan sosial yang menggunakannya ialah register atau laras
  4. Naomi S. Baron (1979) mentakrifkan laras sebagai variasi linguistik (linguistic variation) yang ditentukan oleh keadaan sosial yang wujud pada ketika tertentu
  5. Dwight Bolinger (1981) dan rakannya mendefinisikan laras sebagai bentuk atau variasi bahasa yang digunakan dalam peristiwa berkomunikasi dan mereka menambah, laras dengan bentuk bahasa yang digunakan dalam ucapan umum seperti yang digunakan oleh seseorang pemidato saling berkaitan
  6. D.A. Wilkins (1982) mentakrifkan laras sebagai satu gaya bahasa yang berhubung kait dengan pekerjaan
  7. Nik Safiah Karim (1982) bersependapat dengan Halliday kerana setiap anggota masyarakat akan menggunakan beberapa laras yang berbeza mengikut keperluannya
  8. Brian Seaton (1982) mengeluarkan pendapat bahawa laras ialah satu variasi bahasa yang wujud daripada situasi yang berlainan seperti umur, jantina dan tajuk percakapan
  9. Asmah (1987) pula menyatakan ciri-ciri khusus dalam penggunaan bahasa menurut bidang penggunaannya
  10. Abdullah Hassan (1989) menyebut pemakaian kata-kata tertentu yang sesuai dengan konteksnya itu, adalah sesuatu yang dikatakan laras bahasa
  11. Raminah Hj. Sabran (1989) menjelaskan setiap bahsa mempunyai beberapa laras yang tersendiri yang digunakan dalam situas atau konteks yang berbeza

No comments: