Friday, December 5, 2008

Misi Emas Mersing

Tarikh : 29 November 2008, Sabtu
Lokasi : Kampung Seri Pantai, Mersing, Johor Darul Takzim

Mersing bukanlah tempat 'permainanku'. Seumur hidupku, aku hanya pernah menjejakkan kaki ke tanahnya hanya tiga kali. Pertama, ketika menaiki bot dari jeti Mersing ke Kampung Juara di Pulau Tioman; kedua ketika pulang dari Kampung Juara dan ketiga ketika mengambil beg sahabatku, Rush yang tertinggal di sana.
Kehadiranku semula ke tanah Mersing selepas 2 tahun bukanlah disebabkan kerana sifat gelojoh mahu mendapatkan emas dari perutnya malah lebih dari itu... Pengalaman.
Lama sudah kurancang aktiviti ini bersama Ijal Musa, Afiq, Sep, Ayob dan Kepang. Bermacam khabar yang aku sendiri dengar tentang kewujudan emas dari pepasirnya. Hendak dipercaya takut tak boleh dipercayai, tak percaya takut boleh dipercayai pula.
Kisah penemuan emas di pantai Mersing heboh sejak akhir tahun lalu. Beberapa penduduk kampung menjumpai emas dari perut pantai Mersing. Maka wujudlah beberapa spekulasi. Ada yang mengatakan emas tersebut datangnya daripada orang bunyian atau bunian yang tinggal di kawasan tersebut. Diceritakan, masyarakat bunyian ini hendak berpindah ke tempat lain. Dalam perjalanan ke destinasi baru, ada beberapa barangan mereka yang terjatuh di atas pantai tapi dibiarkan. Dari mulut lain pula, dikisahkan bahawa pada zaman dahulu terdapat sebuah kapal lanun berlabuh di pantai tersebut. Emas yang dijumpai sekarang adalah peninggalan harta karun yang dimiliki oleh lanun-lanun. Pendapat lain dari segi geologi mungkin kawasan pantai tersebut memang kaya dengan hasil emas. Mana satu yang benar, wallahualam.
Pergerakkan aku dan rakan-rakanku bermula pada jam 3.30 petang menuju ke Mersing. Menyedari perjalanan sudah terlewat seperti yang dirancang, kami perlu bersedia dari segi mental dan psikologi. Kuali dan penyodok tidak dilupakan, sekadar mencuba nasib. Untung sabut timbul.
Bagi aku sendiri, pemergian ke Mersing bukanlah untuk emas semata-mata tetapi mencari pengalaman mengembara serta memenuhi masa cuti ini dengan aktiviti yang sihat dan menyeronokkan. Naik sebu fikiranku jika hanya menghabiskan masaku di rumah sahaja.
Perjalanan kami, empat buah motosikal; mengambil masa lebih kurang 3 jam untuk sampai ke destinasi. Keperitan pada punggung cukup terasa sewaktu berhenti berehat di surau Kampung Air Puteri, Mersing. Setelah berjemaah fardhu Asar, kami meneruskan perjalanan mencari destinasi emas seperti yang diuar-uarkan. Masalah yang kami hadapi adalah kesemuanya tidak tahu lokasi yang betul. Bertemankan semangat dan keyakinan kami cuba 'merogol' semua jalan yang ada di situ dan akhirnya sampai di pantai Kampung Seri Pantai.

Jumpa sahaja tempat yang sesuai untuk 'berkelah', kami segera menukar baju basahan sebelum memulakan aktiviti menggali emas. Motor dibawa turun ke pantai bagi menandakan tempat tersebut adalah 'port' kami. Buka apa, takut ada yang termasuk ke kawasan kami, seperti yang kami lakukan sebelum sampai ke situ. Termasuk pula ke kawasan 'singa' sedang mengawan. Elok sahaja si jantan dan si betina berpelukkan menahan sejuk bayu dari laut.
Keadaan petang itu agak lengang. Seperti cerita emas yang mula surut kedengaran. Mungkin kerana kami yang terlewat menyusul. Entah ada ke tidak emasnya, getus hati kecil ini. Dilihat ke kiri dan ke kanan, kami sekadar terlihat beberapa orang sedang mecari siput dan ketam dicelah-celah batu. Segan pula dibuatnya. Sudahlah tidak tahu lokasi yang sesuai, di tambah lagi dengan kami yang jahil ilmu mendulang ini. "Cari tempat berpasir, dik," tingkah seorang kakak yang dari tadi melihat aksi kami. Semua terkulat-kulat dan segera menurut, mencari kawasan berpasir, bukan di laut!


Kesabaran sahaja yang menemani kami sepanjang meneroka isi pasir pantai Mersing. Letih menggali pasir sedalam satu hasta, masing-masing mula melihat ke langit, mohon hari semakin gelap. Malas rasanya hendak meneruskan hajat mencari emas ini. Sudahlah terpaksa menggali lubang yang dalam, bertakung air pula dan ditambah dengan penemuan lapisan pasir yang terdapat cengekerang siput dan kerang.
Aaahh... Sudahlah! Aku sudah malas. Aku menggenggam pasir lalu dibulat-bulatkan lalu dilemparkan ke udara. Masing-masing lari bertempiaran takut terkena kepala lantas mengotorkan baju. Aktiviti petang bertukar menu menjadi main perang-perang. Apa-apa sajalah...

Senja kian berlabuh. Kami bergegas mengemaskan apa yang patut. Perjalanan pulang mesti dimulakan. Takut terlewat. Bukan terlewat sampai ke rumah, terpaksa mengejar stesen minyak di Tenggaroh. Takut tutup pula.

Masa, hidup, pengalaman... Emas!

No comments: