Thursday, March 3, 2011

Membentuk Integrasi dalam Aktiviti Pendidikan Jasmani

Malaysia terkenal sebagai sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum. Di Semenanjung Malaysia, etnik-etnik yang terbesar ialah Melayu, Cina dan India. Manakala, di Sabah dan Sarawak etnik-etniknya lebih pelbagai termasuklah Kadazan, Bajau, Bidayuh, Iban dan Murut. Pendidikan merupakan salah satu media di mana perpaduan boleh diajar dan diamalkan dalam kehidupan.

Di sekolah, guru mempunyai tanggungjawab yang besar dalam mendidik dan mengintegrasikan murid yang berbilang kaum. Masalah dalam menyatupadukan rakyat Malaysia ini sebenarnya sudah lama berlaku. Masalah utama yang dihadapi selepas Malaysia mencapai kemerdekaan ialah memupuk perpaduan antara kaum. Ia jelas dapat dilihat dalam peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Pada waktu ini, prestasi perpaduan di Malaysia teramatlah teruk hingga pemimpin ketika itu terpaksa mengisytihar darurat di seluruh negara. Walaubagaimanapun, masalah ini dapat diatasi sedikit demi sedikit sehinggalah ia berjaya membina semula semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Salah satu cara penyelesaiannya adalah melalui pendidikan seperti yang telah dinyatakan dalam Laporan Razak. Jika dilihat dari segi pendidikan, guru mempunyai tanggungjawab yang besar dalam hal menyatupadukan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. Oleh sebab itu, guru dianggap sebagai watak  penting dalam mengatasi masalah ini. Bidang pendidikan dianggap sebagai salah satu media bagi guru melatih, mendidik dan mengintegrasikan murid.

Masalah berkaitan integrasi murid ini turut dialami oleh pengkaji sendiri semasa menjalani praktikum di dua buah sekolah, SK St. Paul dan SK Methodist. Sebagai contoh, apabila arahan diberikan kepada murid-murid untuk membina kumpulan, mereka lebih selesa untuk berada di dalam kumpulan yang terdiri daripada kaum yang sama. Keadaan ini agak menyukarkan kerana apabila menjalankan aktiviti, murid-murid tidak akan melakukannya secara bersungguh-sungguh. Mereka juga tidak akan mendengar arahan yang diberi kerana akan berbual sesama sendiri.

Jika keadaan ini berterusan tanpa dikawal, objektif pengajaran dan pembelajaran sukar untuk dicapai. Selain itu, murid-murid juga tidak dapat belajar untuk berintegrasi dengan rakan-rakan yang berlainan kaum. Oleh sebab itu, guru perlu sedar bahawa murid-murid perlu tahu Malaysia merupakan sebuah negara majmuk. Mereka perlu dididik sejak kecil lagi tentang perlunya perpaduan walaupun hidup dalam negara berbilang kaum selaras dengan matlamat Perdana Menteri dalam program 1 Malaysia. Ketika menjalankan aktiviti Pendidikan Jasmani juga, guru perlu mementingkan beberapa aspek dari segi perbezaan budaya murid yang berbilang kaum. Isu-isu sensitiviti perlu dijaga supaya tidak menimbulkan sebarang masalah yang lebih besar.




Dipetik dari Kajian Tindakan 
KEBERKESANAN AKTIVITI PENDIDIKAN JASMANI 
DALAM MENGINTEGRASIKAN MURID BERBILANG KAUM 
 MURID TAHUN 2 URANUS SK METHODIST (ACS) SEREMBAN

2 comments:

cryclown said...

bebunyi cm tesis jer:P hahahah

nyOng.is.me said...

hahaha... cuba lu bau lak?