Wednesday, October 29, 2008

Bosan Itu Indah...

Aku menjeling ke arah jendela. Hari sudah tinggi. Jam pada handphone aku menunjukkan jam 1.00 petang. Aku bangkit malas. Mata kugosok membuang gumpalan tahi mata yang mengganggu peglihatanku. Kalau di rumah, tentu mama sudah bising membebel, bisikku kecil. Aku mengeluh. Perasan aku tadi Hadi ada mengejutkanku tapi aku ambil endah tidak endah saja. Berat mataku untuk kubuka.

Aku bangun mencapai tuala yang kugantung pada almari sambil otakku ligat memikirkan tentang aktiviti pada hari ini. Cuti masih berbaki tiga hari lagi. Kepalaku sudah berantakkan kerana kebosanan. Setiap hari aku duduk bersama Hadi, Judin, Ikbal dan Mc memikirkan aktiviti yang boleh kami isi sepanjang cuti ini. Pernah terlintas di awal cuti dahulu untuk berkhemah tapi ibarat tahi ayam yang suam-suam kuku hangatnya. Kalau sudah bangun setiap hari di kala mentari sudah memacak di atas kepala, tidak jadilah gamaknya.

Kudengar pintu dikuak. Terpacul muka Hadi di situ. “Jom pergi rumah Aina. Makan-makan...” Aku memandangnya. “Semalam cakap dengan dia pukul berapa?” Tanyaku.
“Sekaranglah,” jawab Hadi.
“Budak-budak lain dah siap?”
“Dah, Judin tengah siap.”
“Kejap, aku nak siap dulu.” Aku mencapai berus gigi dan shower gel di bawah meja. “Mc ikut?”
“Mc nak pergi naik gunung.” Aku tersentak dengan jawapan Hadi yang berlalu meninggalkan tanda tanya pada aku. Cepat-cepat aku bersiap.

“Kita pergi ambil Mc dulu. Dia dah jalan sampai Kampung Jiboi sana,” tingkahku. Hadi, Judin dan Ikbal sekadar mengangguk.
Sepanjang perjalanan menjejak Mc, tidak henti-henti aku membincangkan perihal Mc dengan Judin. Dia sanggup berjalan ke Gunung Angsi dengan berjalan kaki walaupun jauhnya mengambil masa setengah jam jika menunggang motosikal.
“Itu dia!” jerit Judin tatkala melihat Mc yang sedang berjalan dengan beg yang digalas kemas. Kami segera menuju ke arahnya.
“Woi, Mc! Naik dengan Hadi tu.” Marahku. Mc sekadar tersenyum. “Kau nak pergi mana? Kenapa tak tunggu kita orang. Kan dah janji nak pergi rumah Aina, makan-makan dulu.”
“Aku tunggu semua tak bangun lagi. Aku pergi naik gununglah...” Jawab Mc selamba tanpa ada rasa bersalah. Aku sekadar mengeluh. Salah aku juga. Bangun lewat sangat.

Selesai makan di rumah Aina, kami pun pulang semula ke Maktab. Kebosanan sudah kembali membelenggu.
“Kita pergi PD sajalah,” cadang Hadi. Semua terdiam sejenak.
Okay juga tu,” tingkah Judin sambil menggaru dahinya.
“Macamana Mc?” Tanyaku. Mc tersenyum, “Aku kalau kau orang semua tak nak pergi, aku pergi seorang pun boleh.”

Maka kami pun bersiap-siap. Kelengkapan untuk berkhemah pun disediakan. Periuk, beras, gula dan cawan kami kami isi ke dalam beg.
“Eh, Ramos!” Terkejut aku sewaktu melangkah keluar dari tandas melihat seorang lelaki 30-an berdiri di hadapanku. Dia menoleh.
“Pergi mana semalam?” Tanyaku.
“Aku pergi KL. Tengok bola. Kalah pula Malaysia. “ Aku kembali teringat perlawanan akhir Malaysia menentang Vietnam di Pesta Bola Merdeka malam semalam.
“Tak tahu pula kau pergi tengok,” aku berjalan seiring dengannya ke bilik aku. “Kita orang semua nak pergi PD ni. Nak ikut tak?”
“Boleh juga.” Ramos terus bersetuju.
Okay, siap-siap dulu.”

Jam menunjukkan tepat jam 8.30 malam. Aku, Ikbal, Hadi, Judin, Mc dan Ramos sudah menjejakkan kaki di pantai Port Dickson. Akhirnya, ada juga aktiviti yang kami berjaya lakukan dalam masa cuti ini. Perasaan gembira kembali menutup rasa kebosanan. Malam itu, kami mendirikan dua buah khemah sebagai tempat berteduh dan menyimpan barang-barang yang di bawa. Untuk makan malam pula, kami menyantap ikan keli bakar yang disediakan oleh Hadi. Enak rasanya, maklumlah perut masing-masing sudah lapar. Unggun api yang dinyalakan oleh Ikbal dan Mc cukup membuatkan keadaan samakin damai. Judin pula sedang berbual dengan Zsa Zsa melalui handphone di hujung sana. Habis didera gadis pujaan hatinya itu menjadi commentator. Mana tidaknya, malam ini perlawanan hebat antara Liverpool dan Chelsea. Di sini tiada kemudahan televisyen. Jadi, handphone sajalah yang boleh membantu. Kadangkala, hilai tawa kami semasa berborak memecah suara ombak di pantai. Kami seperti mahu habiskan malam itu dengan kegembiraan sebagai bekalan untuk hari esok.

Malam semakin tua. Jam sudah pukul 2.00 pagi. Aku dan Hadi masih leka berbual menghadap laut. Panjang perbualan kami. Selepas habis topik ini, buka pula topik lain. Kami bercerita tentang kisah dulu di sekolah, kisah percintaan dan macam-macam lagi. Kawan-kawanku yang lain sudah lama dibuai mimpi. Ikbal, Judin dan Ramos beradu di khemah, manakala Mc selesa berbungkuskan sleeping-bag di hadapan khemah. Aku masih tidak dapat lena. Aku memang begini, jika ada aktiviti yang menyeronokkan, tidak tidur pun tak mengapa. Elok juga begitu. Boleh aku juga duduk berkawal, takut-takut terjadi apa-apa.

Diriku tenang tatkala melihat ke arah laut. Deruan ombak menambahkan perasaan damai. Aku bersyukur sangat kerana kebosanan itu muncul. Tanpa perasaan itu tentu kami tidak berada di sini, tempat yang sudah lama aku tidak kunjungi dan aku terus bercerita dengan Hadi sampai fajar kembali terbit di ufuk timur, sehingga pantai Port Dickson kembali dipenuhi kembali dengan pelbagai ragam...


Akhirnya,kebosanan itu mengajar aku tentang keindahan alam...

Alhamdulillah...

1 comment:

cryclown said...

mne la tak tido lagi kul dua klu bgun pun dah petang...

heheheee...rjin gak pjuk orang merajuk yer:P
huahuhauahuahuauuuhhhhahahahaha....
skit mlut aku nak berkata bai.
gelak pun susah.
adoi.