Wednesday, December 24, 2008

Situasi Berbeza : The Gunners dan Catalan

Ke'seri'an Arsenal sewaktu menentang Liverpool hujung minggu lalu banyak menimbulkan ketidakpuashatian ramai pihak. Paling ketara adalah penyokong biru dan kelab syaitan merah.
Kesukaran menyaksikan perlawanan getir tersebut di kampungku ini cukup membuatkan aku derita. Teringat kepada si Astro yang berada di blok asrama. Pasti kalau di sana aku dan Hadi sedang menjerit melawan teriakkan Judin dan Emi. Hardin menghantar sms menanyakan di mana akanku saksikan perlawanan tersebut. Aku diam, tidak membalas. Tidak pasti untuk menjawab apa. Coffee house di sini semuanya tutup awal, kalau buka pun tidak menayangkan perlawanan tersebut. Jadi, aku mengambil keputusan untuk menyaksikannya secara langsung melalui web Fantasysport. Biar tak nampak permainanya tapi aku tahu perkembangannya.

Kebimbangan pertama terasa apabila mendapat tahu Fabregas mengalami kecederaan selepas diasak rakan senegara, Xabi Alonso. Kecederaan tersebut memaksa The Young Star itu berehat selama 3 hingga 4 bulan. Untuk jangka masa pendek, persoalan yang timbul, adakah mampu The Gunners meraih mata dalam perlawanan tersebut? Untuk jangka masa panjang, siapakah yang layak mengambil posisi Fabregas lantas mengepalai skuad untuk perlawanan akan datang? Persoalan ini cukup merumitkan. Bagaimana Arsene Wenger akan merancang skuad selepas ini? Bagaimana pula Arsene Wenger hendak membalas kenyataan celupar kapten skuad syaitan merah? Tunggu sajalah nanti.
Kebimbangan kedua hadir sewaktu penyerang 'tenggelam timbul', Adebayor dilayangkan kad merah selepas dikatakan melakukan kesalahan terhadap Arbeloa. Adrenalin jantungku berdegup kencang sepanjang perlawanan yang menyaksikan Arsenal bermain sepuluh orang. Ditambah dengan kedudukan 1-1.

Bunyi sahaja wisel penamat, aku duduk bersandar di sofa, menarik nafas lega. Syukurlah dengan satu mata. Kira-kira dibuat dan jurang mata antara dua pasukan ini masih tidak berubah. Nampaknya pasukan biru dan syaitan merah perlu bekerja keras selepas Arsenal kurang berjaya menewaskan skuad Merah. Hampir terlupa, skuad Villa di taman Aston senyap-senyap cuba mendaki puncak.

Namun, perlawanan antara The Catalan menentang Villareal berjaya menggembirakan hatiku.
Kemenangan 2-1 Barcelona hasil jaringan Keita dan Henry sekali lagi kukongsi bersama Hadi yang tidak dapat menyaksikan perlawanan tersebut. Mujur sahaja untuk perlawanan ini, aku dapat saksikan secara langsung melalui siaran televisyen Indonesia, RCTI.
Jaringan awal Villareal melaui Cani membuatkan aku dan skuad tersentak tapi aku yakin untuk menang. Perlawanan tidak begitu laju. Tidak sepeti biasa Barca main. Mungkin disebabkan Pepe Guardiola tidak menurunkan skuad utama. Sergio Busquets menggantikan Iniesta yang masih cedera dan Gerard Pique yang mengambil posisi Marquez.

Messi, entah kenapa anak muda ini bermain seperti terkongkong. Pergerakkannya pun agak terbatas. Tiada lagi kelihatan larian solonya yang mampu memperdaya beberapa pertahanan lawan. Sudah 2 minggu, sama sahaja seperti melawan Real Madrid. Mungkin Messi agak berhati-hati, seperti di dalam kenyataannya, dia menjadi sasaran pihak lawan. Aku juga takut, bakal pemain terbaik dunia ini cedera sekali lagi.
Hantaran bebas Dani Alves ditanduk kemas Keita untuk gol penyamaan berjaya mengubah rentak permainan Barca. Begitu juga dengan gol kemenangan oleh Henry yang menyempurnakan hantaran cantik Xavi Hernandes. Namun, keseronokkan perlawanan itu agak terbantut. Agaknya memang terkena badi pasukan pilihanku malam ini. Sudahlah Adebayor, Pique juga terkena nasib yang sama. Mujur sahaja jaringan dapat dikekalkan hingga tamat perlawanan, menjadikan Barcelona kelab La Liga yang tidak tewas dalam 15 perlawanan berturut-turut.

Wednesday, December 17, 2008

Wajarkah Pembubaran Skuad Harimau Malaya?

Kekalahan skuad Malaysia atau lebih gah digelar Harimau Malaya, pada kejohanan AFF Suzuki baru-baru ini banyak menimbulkan keraguan dalam kalangan pemerhati dan peminat bolak sepak negara. Persoalan yang timbul merangkumi tahap permainan para pemain serta kewibawaan jurulatih dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam meningkatkan mutu bola sepak Malaysia.
Sebelum kejohanan ini bermula, perlaburan yang besar telah dikeluarkan oleh pihak persatuan dengan menghantar skuad berlatih dan menjalani perlawanan ujian di Slovakia. Adakah perlaburan tersebut cukup berbaloi dengan hasil yang dikecapi dalam kejohanan yang turut disertai oleh negara-negara jiran, Thailand, Vietnam, Laos, Indonesia, Myammar dan Singapura?
Apa masalah sebenar bola sepak Malaysia ini?
Sejak kekalahan Malaysia di kejohanan tersebut, pelbagai khabar yang aku dengar termasuklah mengenai pembubaran skuad Harimau Malaya yang cukup dikenali seantero dunia dulu. Tidak cukup dengan itu, langkah menamatkan kontrak jurulatih, B Sathianathan juga kedengaran.
Perlukan masa? Jika itu yang FAM mahu, bubarkan sahaja skuad bola sepak Malaysia. Jangan habiskan duit rakyat dengan janji-janji kosong. Laburkan sahaja wang tersebut untuk sukan yang betul-betul boleh dibanggakan. Mungkin dengan pembubaran ini, Malaysia akan lebih serius dalam melahirkan skuad yang begitu mantap seperti era Allahyarham Mokhtar Dahari, bermula dari liga tempatan. Bila sudah bersedia sepenuhnya, barulah Harimau Malaya Kembali mengaum di seluruh dunia.
Masalah bola sepak Malaysia ini bukanlah sesuatu yang baru. Sudah agak lama. Tetapi sampai bila harus dibincangkan?

Thursday, December 11, 2008

Hiba...

Tanganku lincah mengalihkan cursor pada perkataan 'Maswafi' pada menu sambungan di blog ku. Niat di hati ingin tahu perkembangan terbaru tentang sahabatku itu. Maklumlah, setelah tamat kursus di maktab, entah apa yang Uncle Maswafi lakukan. Rindu? Mmmm... Bolehlah, sikit. Rasanya rindu lagi pada si dia di sana.
Terbuka sahaja blog Maswafi, aku sudah boleh menebak dia sudah menulis coretan terbaru. Kubaca perlahan-lahan, dari mula hingga penghabisnya.
Aku menarik nafas panjang. Hiba rasanya. Setelah tamat kursus ni, entah kami akan jumpa lagi atau tidak.
Kubuka pula blog sahabat malamku, Emi dengan harapan ada juga coretan terbaru daripadanya. Ah, bertambah hiba perasaan ini sewaktu membacanya. Aku tidak boleh lama menonton blognya, bimbang rintik hujan akan menuruni dari celah-celah mataku.
Ingatanku kembali menerawang mengingat kembali sahabatku yang lebih layak bergelar abang. Uncle Maswafi, Emi, Pravindan, Zahir, Mijat, Helmi, Long, Paly, Tom, Pesal dan paling kukenang Abe Li. Aku hanya mampu berharap mereka gembira sentiasa di samping orang tersayang dan semoga kita berjumpa lagi....

Oh,hiba...
Memang waktu ini kaulah temanku...
La...La....La...
;-(

Friday, December 5, 2008

Apa Itu Laras Bahasa?

Hubungan antara bahasa dan masyarakat begitu erat dan tidak dapat dipisahkan. Semakin luas bahasa digunakan, semakin banyak pula penggunanya. Bahasa sebagai wahana komunikasi digunakan untuk memperkatakan bermacam-macam hal, aspek, bidang dan peristiwa.
Konsep laras atau register telah diperkatakan oleh seorang ahli linguistik barat bernama Reid pada tahun 1956.
Konsep dan Pengertian Laras
Laras bahasa ialah sesuatu variasi bahasa yang mempunyai ciri-ciri khusus dalam penggunaannya mengikut bidang.Secara umumnya,laras bahasa bermaksud gaya atau cara bahasa yang digunakan untuk menyampaikan maklumat, maksud dan tujuan sama ada secara lisan atau bertulis.
Apa kata tokoh-tokoh luar negara dan tempatan mengenai definisi laras bahasa?
  1. Ure dan Ellis telah menyatakan pada 1977 bahawa laras bahasa adalah sejenis pencorakan bahasa yang kerap kali digunakan dalam sesuatu situasi komunikatif
  2. Za’ba (1962) menerangkan laras ialah rupa susuk bahasa yang dipakai apabila bercakap atau mengarang, iaitu tentang perkataannya, ikatan ayatnya, jalan bahasanya, cara susunannya atau bentuk peribahasanya
  3. Halliday (1968) mendefinisikannya sebagi variasi bahasa berlainan berdasarkan fungsi atau dengan kata yang lebih mudah laras berubah mengikut situasi. Beliau mendasarkan perbezaan laras yang digunakan kepada dua faktor, iaitu pengguna dan penggunaan. Variasi bahasa yang timbul yang berkaitan dengan penggunanya, iaitu yang melibatkan tempat asal seseorang ialah dialek dan variasi bahasa yang berkaitan dengan penggunaannya, iaitu yang berlainan mengikut kumpulan sosial yang menggunakannya ialah register atau laras
  4. Naomi S. Baron (1979) mentakrifkan laras sebagai variasi linguistik (linguistic variation) yang ditentukan oleh keadaan sosial yang wujud pada ketika tertentu
  5. Dwight Bolinger (1981) dan rakannya mendefinisikan laras sebagai bentuk atau variasi bahasa yang digunakan dalam peristiwa berkomunikasi dan mereka menambah, laras dengan bentuk bahasa yang digunakan dalam ucapan umum seperti yang digunakan oleh seseorang pemidato saling berkaitan
  6. D.A. Wilkins (1982) mentakrifkan laras sebagai satu gaya bahasa yang berhubung kait dengan pekerjaan
  7. Nik Safiah Karim (1982) bersependapat dengan Halliday kerana setiap anggota masyarakat akan menggunakan beberapa laras yang berbeza mengikut keperluannya
  8. Brian Seaton (1982) mengeluarkan pendapat bahawa laras ialah satu variasi bahasa yang wujud daripada situasi yang berlainan seperti umur, jantina dan tajuk percakapan
  9. Asmah (1987) pula menyatakan ciri-ciri khusus dalam penggunaan bahasa menurut bidang penggunaannya
  10. Abdullah Hassan (1989) menyebut pemakaian kata-kata tertentu yang sesuai dengan konteksnya itu, adalah sesuatu yang dikatakan laras bahasa
  11. Raminah Hj. Sabran (1989) menjelaskan setiap bahsa mempunyai beberapa laras yang tersendiri yang digunakan dalam situas atau konteks yang berbeza

Misi Emas Mersing

Tarikh : 29 November 2008, Sabtu
Lokasi : Kampung Seri Pantai, Mersing, Johor Darul Takzim

Mersing bukanlah tempat 'permainanku'. Seumur hidupku, aku hanya pernah menjejakkan kaki ke tanahnya hanya tiga kali. Pertama, ketika menaiki bot dari jeti Mersing ke Kampung Juara di Pulau Tioman; kedua ketika pulang dari Kampung Juara dan ketiga ketika mengambil beg sahabatku, Rush yang tertinggal di sana.
Kehadiranku semula ke tanah Mersing selepas 2 tahun bukanlah disebabkan kerana sifat gelojoh mahu mendapatkan emas dari perutnya malah lebih dari itu... Pengalaman.
Lama sudah kurancang aktiviti ini bersama Ijal Musa, Afiq, Sep, Ayob dan Kepang. Bermacam khabar yang aku sendiri dengar tentang kewujudan emas dari pepasirnya. Hendak dipercaya takut tak boleh dipercayai, tak percaya takut boleh dipercayai pula.
Kisah penemuan emas di pantai Mersing heboh sejak akhir tahun lalu. Beberapa penduduk kampung menjumpai emas dari perut pantai Mersing. Maka wujudlah beberapa spekulasi. Ada yang mengatakan emas tersebut datangnya daripada orang bunyian atau bunian yang tinggal di kawasan tersebut. Diceritakan, masyarakat bunyian ini hendak berpindah ke tempat lain. Dalam perjalanan ke destinasi baru, ada beberapa barangan mereka yang terjatuh di atas pantai tapi dibiarkan. Dari mulut lain pula, dikisahkan bahawa pada zaman dahulu terdapat sebuah kapal lanun berlabuh di pantai tersebut. Emas yang dijumpai sekarang adalah peninggalan harta karun yang dimiliki oleh lanun-lanun. Pendapat lain dari segi geologi mungkin kawasan pantai tersebut memang kaya dengan hasil emas. Mana satu yang benar, wallahualam.
Pergerakkan aku dan rakan-rakanku bermula pada jam 3.30 petang menuju ke Mersing. Menyedari perjalanan sudah terlewat seperti yang dirancang, kami perlu bersedia dari segi mental dan psikologi. Kuali dan penyodok tidak dilupakan, sekadar mencuba nasib. Untung sabut timbul.
Bagi aku sendiri, pemergian ke Mersing bukanlah untuk emas semata-mata tetapi mencari pengalaman mengembara serta memenuhi masa cuti ini dengan aktiviti yang sihat dan menyeronokkan. Naik sebu fikiranku jika hanya menghabiskan masaku di rumah sahaja.
Perjalanan kami, empat buah motosikal; mengambil masa lebih kurang 3 jam untuk sampai ke destinasi. Keperitan pada punggung cukup terasa sewaktu berhenti berehat di surau Kampung Air Puteri, Mersing. Setelah berjemaah fardhu Asar, kami meneruskan perjalanan mencari destinasi emas seperti yang diuar-uarkan. Masalah yang kami hadapi adalah kesemuanya tidak tahu lokasi yang betul. Bertemankan semangat dan keyakinan kami cuba 'merogol' semua jalan yang ada di situ dan akhirnya sampai di pantai Kampung Seri Pantai.

Jumpa sahaja tempat yang sesuai untuk 'berkelah', kami segera menukar baju basahan sebelum memulakan aktiviti menggali emas. Motor dibawa turun ke pantai bagi menandakan tempat tersebut adalah 'port' kami. Buka apa, takut ada yang termasuk ke kawasan kami, seperti yang kami lakukan sebelum sampai ke situ. Termasuk pula ke kawasan 'singa' sedang mengawan. Elok sahaja si jantan dan si betina berpelukkan menahan sejuk bayu dari laut.
Keadaan petang itu agak lengang. Seperti cerita emas yang mula surut kedengaran. Mungkin kerana kami yang terlewat menyusul. Entah ada ke tidak emasnya, getus hati kecil ini. Dilihat ke kiri dan ke kanan, kami sekadar terlihat beberapa orang sedang mecari siput dan ketam dicelah-celah batu. Segan pula dibuatnya. Sudahlah tidak tahu lokasi yang sesuai, di tambah lagi dengan kami yang jahil ilmu mendulang ini. "Cari tempat berpasir, dik," tingkah seorang kakak yang dari tadi melihat aksi kami. Semua terkulat-kulat dan segera menurut, mencari kawasan berpasir, bukan di laut!


Kesabaran sahaja yang menemani kami sepanjang meneroka isi pasir pantai Mersing. Letih menggali pasir sedalam satu hasta, masing-masing mula melihat ke langit, mohon hari semakin gelap. Malas rasanya hendak meneruskan hajat mencari emas ini. Sudahlah terpaksa menggali lubang yang dalam, bertakung air pula dan ditambah dengan penemuan lapisan pasir yang terdapat cengekerang siput dan kerang.
Aaahh... Sudahlah! Aku sudah malas. Aku menggenggam pasir lalu dibulat-bulatkan lalu dilemparkan ke udara. Masing-masing lari bertempiaran takut terkena kepala lantas mengotorkan baju. Aktiviti petang bertukar menu menjadi main perang-perang. Apa-apa sajalah...

Senja kian berlabuh. Kami bergegas mengemaskan apa yang patut. Perjalanan pulang mesti dimulakan. Takut terlewat. Bukan terlewat sampai ke rumah, terpaksa mengejar stesen minyak di Tenggaroh. Takut tutup pula.

Masa, hidup, pengalaman... Emas!