Friday, May 29, 2009

Konsep Bilik Darjah Yang Mesra Budaya

Sebelum membincangkan dengan lebih lanjut dan mendalam, pokok utama yang perlu diketahui atau difahami adalah mengenai maksud sebenar tentang perkara yang menjadi tunjang kepada persoalan tersebut. Terdapat tiga tunjang yang dikenalpasti dalam perbincangan ini, iaitu :

1. Bilik darjah Bilik darjah seharusnya tempat yang paling seronok bagi murid-murid. Bilik darjah secara umumnya boleh didefinisikan sebagai satu ruang di mana murid-murid akan menjalani rutin belajar atau menerima seberapa banyak input yang berguna sebagai persediaan menjadi insan yang cemerlang. Di sini juga, kebanyakkan pembelajaran berlaku secara formal (rasmi). Namun, tidak dinafikan juga pembelajaran secara informal (tidak rasmi) juga berlaku.

2. Budaya Tunjang kedua pula ialah budaya. Terdapat beberapa pendapat yang dapat memberi gambaran secara jelas mengenai definisi budaya. Antaranya ialah :

“Budaya dapat ditakrifkan sebagai tamadun atau peradaban. Ia juga bermaksud kemajuan fikiran atau akal budi (cara berfikir dan berkelakuan).”
(Kamus Dewan Edisi ke-3 1996 : 180)

“Budaya berasal daripada budi dan daya. Dua perkataan itu dirangkumkan menjadi budaya. ‘Bu’ membawa erti asli, pertama, sejati dan yang dipandang sempurna, menyenangkan, bahkan dimuliakan. ‘Daya’ mengandungi erti akal, jalan fikiran, ciptaan atau bikinan dan yang seumpamanya.”
(Asmad, 1990)

3. Konsep bilik darjah yang mesra budaya Sebagai seorang guru, sudah menjadi kemestian bagi kita untuk mengkaji terlebih dahulu latar balakang murid-murid. Di dalam sebuah bilik darjah mengandungi murid yang pelbagai latar belakang atau budaya dan melalui perbezaan ini akan mempengaruhi tingkah laku mereka. Setiap murid bukan sahaja berbeza dari segi individu seperti dari segi jantina, keistimewaan dan cara pembelajaran yang tertentu, tetapi mereka juga berbeza dari segi nilai, sikap, tingkah laku dan kebolehan yang mungkin dipengaruhi oleh latar belakang dan budaya masing-masing.

Pendidikan berbilang budaya ialah salah satu pendekatan pendidikan yang diusahakan untuk mencapai kesaksamaan peluang pendidikan dengan mengambil kira keperluan murid yang berbeza dari segi individu dan budaya. Masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum. Oleh itu, seorang guru harus peka dengan kepercayaan dan amalan sosio-budaya yang berbeza dalam kalangan muridnya. Persekitaran bilik darjah yang mesra budaya merupakan salah satu faktor yang boleh meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). Secar ringkasnya, guru harus peka kepada perbezaan ini supaya tiada murid daripada golongan yang tertentu berasa tersisih disebabkan ketidakprihatinan terhadap keperluan mereka. Keadaan ini juga dapat mempengaruhi cara murid berkomunikasi dan memahami dunia di sekeliling mereka.
(Ilmu Pendidikan : Budaya & Pembelajaran)

No comments: