Wednesday, November 26, 2008

Refleksi : Gunung Telapak Burok, Jelebu (3703 kaki)

Laluannya cukup mencabar. Aku dan peserta-peserta lain terpaksa menempuhi lebih kurang 15 bukit dan 4 anak sungai untuk sampai ke puncak Gunung Telapak Burok. Cukup menguji kesabaran dan kekuatan mental serta fizikal. Tidak hairanlah jangka masa 8 jam menjadi 20 jam.
Langkah ganasku pada mulanya menjadi sedikit hambar selepas menerima 'ciuman' daripada sang penyengat di kepala. Aku cukup terkilan kerana tidak dapat membawa begku sendiri hingga ke puncak. Walaubagaimanapun, aku masih teringat kisah yang diceritakan oleh Uncle Maswafi tentang sahabatnya yang cedera ketika mendaki Gunung Batu Putih. Tiada gunanya kalau diri kita sudah tidak mampu 'berdikari' tapi masih terus memaksa. Mungkin ia akan menyusahkan lebih ramai pihak. Jadi, aku mengambil keputusan meneyerahkan begku kepada Helmi yang ternyata lebih berstamina. Aku bersyukur kerana ramai yang membantu ketika itu.
Gunung Telapak Burok masih asing lagi dalam kalangan orang sekitar situ apatah lagi bagi diri kami yang rata-ratanya hanya tahu kewujudan tempat rekreasi Jeram Toi. Bagiku laluannya sesuai untuk individu yang mahukan sesuatu yang mencabar. Treknya yang 'mencanak' dengan hujan yang turun membasahi bumi, memang boleh mencabar kekuatan fizikal dan ketahanan mental seseorang. Untuk yang baru menceburi aktiviti mendaki, Gunung Telapak Burok bukanlah 'guru' yang sesuai. Aku percaya rata-rata yang menyertai aktiviti ini tidak mahu mendaki lagi selepas ini. Psikologi mereka akan mengatakan mendaki adalah sesuatu yang 'gila'. Ia bukan sahaja mempengaruhi bagi pendaki-pendaki baru, malah Uncle Maswafi, 'otai' gunung pernah berseloroh kepadaku, dia tidak akan mendaki Gunung Telapak Burok walaupun dibayar. Puncaknya tidaklah seperti yang aku harapkan, berkabus, pohon-pohon renek yang indah membentuk kubu, kumpulan batu-batu besar dan kawasan yang lapang untuk berkhemah. Tapi yang aku nampak hanyalah menara pemancar telekomunikasi, beberapa bangunan dan kisah tentang kewujudan keluarga 'Pak Belang'. Hampa sedikit rasanya.
Bagi aku, Gunung Telapak Burok banyak mengajar aku tentang kesabaran dan keindahan bersahabat. Entahlah... Mungkin itu yang banyak aku lihat. Sudah menjadi adat bila mendaki hingga ke aras yang tinggi, udara semakin berkurangan dan badan sudah kecapekkan, mental boleh hilang kewarasannya. Maka terjadilah pergaduhan, pertengkaran dan perang mulut tapi bagi yang mampu menahannya, dia boleh dianggap berjaya. Lihat sahaja ketika dipuncak. Masing-masing tertawa bersama bercerita pengalaman masing-masing walhal baru tadi bergaduh sewaktu mendaki.
Gunung Telapak Burok bukanlah penghujung cintaku bersama gunung. Aku harap rancanganku untuk mendaki bersama Mc tahun depan berhasil. Bukan sekadar mendaki tetapi membuat trans Ulu Bendul-Gunung Angsi-Bukit Putus. InsyaALLAH...

Keratan akhbar Sinar Harian Edisi Negeri Sembilan/Melaka
Khamis,20 November 2008
Keratan akhbar Sinar Harian Edisi Negeri Sembilan/Melaka
Ahad,23 November 2008


Trans : Semangat-Penat-Puncak
Foto Ihsan maswafi.blogspot.com

No comments: