Wednesday, November 26, 2008

Menawan Puncak Telapak Burok, Jelebu

Kepalaku masih berpinar. Bisa disengat penyengat siang tadi masih terasa. Aku hanya mampu bersandar pada pohon besar yang tegak berdiri sambil memerhatikan Hadi menarik tangan Mat Ros. Aku tidak terdaya lagi untuk berjalan apatah lagi membantu Hadi. Terasa kesengalan pada sendi-sendi ini setelah hampir 20 jam berjalan meredah hutan belantara, bukit-bukau dan sungai demi satu tujuan, menawan puncak Telapak Burok. Aku teringat kembali latihan dan persediaan yang aku lakukan sebelum ini. Aku rajin berjogging demi memantapkan fitness dan ketahanan fizikalku. Tetapi sekarang, aku bukan sahaja perlukan itu. Apa yang penting adalah kecergasan dan kekuatan mental. Perjalanan yang ditempuh entah sampai bila akan berakhir.

Praaakkk!

Aku melihat Mat Ros tersungkur. Akar kayu yang dipegangnya patah. Aku sedikit terkedu melihat rakanku itu semakin lemah. Kudratnya berkurangan, tidak seperti pagi tadi. Bersemangat untuk menakluk Telapak Burok.

Hadi cuba menarik tangan Mat Ros. Mulutnya tidak henti-henti memberi semangat. Aku sedar, sekarang ini hanya dia mempunyai tenaga. Sedangkan aku dan Mat Ros sudah separuh mati. Aku teringat kata-kata Mat Ros petang tadi, “Aku nak jalan dengan Hadi lah... Aku tak boleh lah tak ada kau.” Aku tahu dia lebih ‘bersemangat’ jika ada Hadi bersama.

Mat Ros dan Hadi bersandar pada pokok berhampiran denganku. Kami sama-sama melepaskan udara kepenatan dari dalam badan. Aku mencapai sebatang Winston Light yang terakhir lalu dinyalakan. Aku dan Mat Ros bersilih ganti mengepam jantung. Suasana sejuk menambahkan kehibaan. Asap berkepul-kepul membuatkan aku teringat pada hangatnya unggun api. Kepingin aku menghangatkan badan ini. Sudahlah ditimpa hujan petang tadi, ditambah pula disengat penyengat di kepala. Kondisi badanku betul-betul tidak stabil. Aku berkira-kira, kami adalah kelompok kedua terakhir akan sampai kerana masih ada lagi di belakang kami. Uncle Maswafi, Helmi, Fadly, Ustaz, dan Long sedang berusaha membawa Hattan yang mengalami kekejangan sebentar tadi. Mulanya kami mahu menunggu mereka tetapi disuruh jalan dahulu.

“Mari,” Mat Ros bersuara. Dia masih mahu meneruskan perjalanan dengan berbekalkan sisa-sisa semangat yang ada. Dan malam itu, bertemankan samar-samar lampu suluh yang satu, kami meneruskan perjalanan menuju ke destinasi. Kami perlu juga meneruskan perjalanan ini. Kami tiada pilihan dan hanya kami bertiga....

Dari jauh aku sudah dengar riuh rendah. Paling jelas kudengar suara Fareez. Terasa lega hati ini. Mat Ros juga begitu. Langkahnya semakin laju. Aku sekadar membuntutinya, kadang-kadang hampir tersungkur tersadung akar kayu yang berselirat di atas tanah. Akhirnya kami bertiga berjaya memasuki kelompok besar. Kami berehat sebentar sebelum meneruskan perjalanan.

Lebih kurang jam 0530, kami berjaya juga sampai ke puncak Telapak Burok, Jelebu. Suhunya membuatkan aku terketar-ketar. Aku duduk bersama Mat Ros dan Hadi. Rasanya baru sebentar tadi kami bergelut meredah kegelapan hutan dengan penuh seksa, dan kini kami sudah boleh tertawa menceritakan pengalaman masing-masing...

No comments: