Saturday, August 8, 2009

MALAKOF University Duathlon Series 2009!

Bagi dua siri terawal di Universti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), aku lebih bertindak selaku pengurus kepada sahabat dan mentorku, Mc. Mungkin belum masanya bagi aku untuk menjadikan diri aku sebagai salah seorang 'keluarga' MALAKOF.
Namun, entah macamana terbuka pintu hati ini untuk menyertainya walaupun aku belum pernah berlatih 'segila babi' macam Mc demi untuk duathlon! Aku hanya ada seminggu untuk mempersiapkan diri aku sebelum bertanding di arena terakhir di Universiti Malaya (UM).
Kategori Mix Relay pada mulanya menjadi sandaran aku. Hadi sudah menyatakan persetujuan lebih awal untuk mengikuti kejohanan tersebut. Malangnya srikandi yang dicadangkan, Siti Aminah tidak dapat meluangkan masa kerana terdapat masalah-masalah tersendiri. Tak mengapalah.
Seterusnya, aku melihat pada kategori Men's Relay pula. Nama yang tersenarai pula rasanya cukup melegakan hatiku. Zahir sebagai pelari pertama, Hadi akan berkayuh dan aku sebagai pelari terakhir. Mendapat sahaja regu terbaik ini, aku sudah memulakan latihan. Agak mengecewakan sedikit apabila larianku begitu 'hampeh', 7 minit untuk larian sejauh 1500 meter. Sudah lama tidak berlarilah katakan. Tak mengapalah.
Dalam mempersiapkan diri, tiba-tiba Zahir terpaksa menarik diri kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Aduh, dugaan lagi. Tidak mengapalah. Terpaksa mencari orang lain bagi memenuhkan saf regu kami.
Akhirnya, kata putus telah dibuat Luqman dipanggil sebagai pengayuh basikal, manakala Hadi dan aku sebagai pelari pertama dan terakhir. Lukman yang memang sudah terserlah kehebatannya mengayuh mountainbike Exitway Norfolknya semasa sama-sama mendaki Bukit Miku menjadi penguat semangat aku untuk terus berlatih.
Dua hari sebelum kejohanan, dugaan datang lagi dengan duka berbaur kegembiraan. Hadi dipanggil untuk menjalani latihan bola sepak di Kedah untuk SIPMA tahun ini. Aduh... Aku terdiam sejenak. Borang dah siap, yuran juga sudah dibayar. Tak mengapalah. Terpaksa aku mencari pengganti Hadi. Setelah bersama-sama memujuk Mat, akhirnya dia tewas setelah aku berjaya menjual muka 'seposen'.
Pada hari kejohanan, aku sendiri agak gusar dan gemuruh. Melihat peserta-peserta semua bagai menggila di arena terakhir ini. Tapi bagi membantu Mat yang sudah berpeluh-peluh ketakutan walaupun belum memanaskan badan, aku buat selamba sahaja. Tekad kami semua hanya ingin menghabiskan pertandingan ini, tidak kira di tempat yang ke berapa sekalipun.
Aku terpaksa bertindak sebagai pelari pertama. Langkah awal agak cacat sedikit kerana terlalu mengejar Mc yang tidak jauh di hadapan. Namun, aku belajar tiada gunanya mengejar orang lain jika ia hanya memenatkan dan mengganggu mental. Jadi, aku memperbetulkan langkah dan berjaya menghabiskan larian lebih kurang 16 minit. Walaupun tidaklah sebaik peserta UPNM, aku tetap berpuas hati kerana berjaya meninggalkan peserta-peserta siri terdahulu. Apa yang menjadi kemusykilan dan ralat di hati ialah aku telah dipotong oleh 2 orang srikandi yang aku sendiri
terpaksa memberi tabik 'spring' pada mereka, Akak Trikidz dan Akan berskaf Adidas yang sudah lama aku usha, dari siri pertama lagi.
Luqman meneruskan cabaran dengan mengayuh sejauh 11 kilometer. Dia berjaya mencipta kenangan terindah apabila dengan selamba 'menghenyak' mountainbikenya pada bukit yang mencabar, meninggalkan pesaing yang terpaksa menyorong basikal racing! Luqee, lu memang
gila!
Dan terakhir sekali, Mat meneruskan larian sejauh 3.5 kilometer dengan hati yang gundah-gulana. Namun, aku puji anak muda ini kerana berjaya menghabiskan larian dengan senyuman meleret ke telinga. Hilang semua rasa gemuruh sewaktu melintas garis penamat.
Walaubagaimanapun, keputusan rasmi masih belum dapat dilihat. Tak tahu kenapa lewat pihak MALAKOF mempamerkan keputusan di web mereka.

Kesempatan ini aku ingin mengucapkan terima kasih pada rakan-rakan yang banyak memberi dorongan, Mc, Luqman, Hadi, Maswafi, Mat, Zahir dan semua-semualah, tak dapat nak sebut semua. Terima kasih banyak-banyak!

Mc berlari menuju ke garisan penamat sambil Luqman memerhati di hujung sana.

Mat pun bergaya sewaktu menuju ke garisan penamat.

Regu aku yang terdiri daripada Mat, aku sendiri dan Luqman.

Bergambar kenangan sebelum pulang bersama Exitway Norfolk milik Luqman yang berjaya menewaskan banyak basikal racing lain.

Tahniah Mc!
Tahniah Luqee!
Tahniah Mat!
...dan Tahniah AKU!!!

Wednesday, August 5, 2009

Kerana Katil, Maruah Seorang Guru Tercabar!

Pelatih Institut Perguruan Raja Melewar tiada katil, almari

ANAK saya adalah antara 180 orang guru pelatih tahun pertama (Ambilan KPLSPM Julai 2009) yang telah melaporkan diri ke Institut Perguruan Raja Melewar, Seremban, Negeri Sembilan.
Pada 13 Julai 2009, selepas mendaftarkan diri, alangkah sedih dan hampa anak saya apabila ditempatkan ke dalam bilik asrama Blok D yang dihuni oleh dua guru pelatih senior. Guru-guru pelatih lain yang baru mendaftar juga menghadapi nasib yang sama. Di bilik tersebut hanya terdapat dua buah katil milik pelatih senior dan pelatih baru terpaksa tidur di atas lantai. Para pelatih baru juga tiada almari untuk meletak dan menyimpan barangan yang dibawa dari kampung kerana dua buah almari yang sedia adalah milik dua orang senior. Beg-beg berisi pakaian, barangan keperluan harian dan sebagainya terpaksa diletakkan di ruangan antara dua buah katil yang merupakan ruang kosong tunggal bilik tersebut. Bilik tersebut hanya ada dua buah meja tulis dan dua kerusi untuk guru pelatih membuat assignment atau tugasan dan sebagainya dan kesemua itu telah dimiliki pelatih senior. Di manakah para pelatih baru dapat membuat tugasan dan menelaah pelajaran? Pihak Institut Perguruan Raja Melewar (IPRM) perlu prihatin terhadap kebajikan asas seorang guru pelatih baru. Adalah menjadi tanggungjawab IPRM untuk menyedia dan membekalkan kemudahan asas seperti sebuah katil, almari dan meja tulis untuk setiap guru pelatih. Itu adalah hak setiap guru pelatih. Yang paling menyedih dan menghampakan ialah pihak IPRM telah menyatakan bahawa guru-guru pelatih yang baru mendaftar terpaksa akur dengan keadaan sedemikian sehingga bulan November kerana kekurangan bilik. Pihak IPRM telah memberi alasan yang tidak profesional dan berasas kerana pihak IPRM sudah sedia maklum dengan bilangan pelatih baru sebelum tarikh pendaftaran tetapi tidak membuat persediaan yang sepatutnya. Keadaan serba kekurangan dan tidak terurus ini telah dan sedang memberi tamparan besar terhadap semangat guru pelatih baru yang datang dari jauh.

HAMBA ALLAH
Negeri Sembilan

(Petikan Utusan Malaysia, 22 Julai 2009)

Sama-samalah kita berdoa mudah-mudahan anak kepada si penulis watikah yang bertujuan memudahkan hidup anak beliau tetapi menyusahkan hidup orang lain ini, dihantar ke tempat-tempat mengajar pedalaman macam Sarawak, P3 lagi. Biar dia belajar cara hidup seorang guru yang terpaksa tidur tanpa beralaskan katil yang sungguh selesa! Ini bukan kata-kata kosong, tetapi doa juga harapan.

Sunday, July 26, 2009

Hilangnya Seorang 'Yasmin Ahmad'

Melihat keletah M Rajoli dan Kartina Aziz dalam filem Rabun cukup menghiburkan hatiku. Maklum sajalah, dua-duanya seniman dan seniwati negara yang cukup berbakat.
Sewaktu filem ini ditayangkan di TV3, aku masih bersekolah menengah lagi. Aku pun tidak kenal siapa itu 'Yasmin Ahmad'. Kisahnya cukup ringkas, melambangkan budaya orang Malaysia sendiri, walaupun kebanyakkan tidak pernah mengakuinya.

Menonton filem ini membuatkan aku cukup dekat dengan insan di belakang tabirnya. Oleh kerana itulah aku sentiasa menanti kehadiran karya terbarunya. Biarlah orang lain akan berkata filem-filem yang dihasilkan pemikir bebas sepertinya agak mengarut dan kadang-kadang melampaui dari segi adat, norma dan batas pemikiran logik, tapi itulah yang aku minat. Bagi aku menonton filem bukanlah sekadar menonton dengan mata tertutup tapi menonton sambil memutarkan segala mesin dalam fikiran ini. Barulah apa yang kita nak akan kita jumpa dalam sesuatu filem itu. Seorang pengarah bebas, Ho Yuhang pernah berkata, "saya buat filem yang tiada mesej. Saya buat filem yang hanya ada feel. Baru orang akan suka jalan ceritanya."
Begitu juga seorang insan yang dilahirkan sebagai pembikin filem yang setia dengan slogannya, 'FILEM MALAYSIA'. Dia sememangnya seorang yang berfikiran ke arah liberal tetapi bagi aku cukup jujur. Sebab itulah ceritanya aku sentiasa ikuti. Karyanya bukan sahaja aku nantikan di layar besar malah di kaca-kaca peti warna. Aku akan tunggu hasil karyanya setiap kali hadirnya 31 Ogos, Hari Raya Puasa, Tahun Baru Cina dan Deepavali. Walaupun hanya menonton kurang 3 minit tetapi aku tetap puas. Pasti apa yang aku cari akan ada di dalam setiap hasil kerjanya.
Seorang 'Yasmin Ahmad' sahaja belum cukup untuk untuk memantapkan industri filem negara. Sepatutnya perlu ada ramai lagi 'Yasmin Ahmad' dalam arus perdana, berani menyampaikan apa sahaja.
Tidak hairanlah aku sanggup menonton seorang diri filem Gubra tanpa ditemani sesiapapun di GSC Terminal 1, mahupun dengan si dia sekalipun. Aku tahu, tak semua orang minat cerita-cerita macam itu. Jadi, lebih baik aku menonton sendirian, senang nak dapat feel.
Tapi hari ini, kerusi panas sudah kembali kosong mencari 'Yasmin Ahmad' yang lain, seorang pengganti yang dapat berfikir sama atau lebih dari 'Yasmin Ahmad' yang sudah pergi menemui-Nya.

Semoga ALLAH mencucuri rahmat-Nya kepada Allahyarhamah dan ditempatkan di kalangan orang yang diredhai-Nya. InsyaALLAH...

Aku membesar dengan filem Yusof Haslam, Aziz M Osman, Prof Razak.. Tapi aku menghormati filem orang aliran bebas yang jujur dan tahu kenapa mereka perlu hasilkan filem tersebut...

Monday, July 20, 2009

Ketika Cinta Bertasbih (Melly Goeslow feat. Amee)

Bertuturlah cinta
Mengucap satu nama
Seindah goresan sabdamu dalam kitabku
Cinta yang bertasbih
Mengutus Hati ini
Kusandarkan hidup dan matiku padamu

Bisikkan doaku
Dalam butiran tasbih
Kupanjatkan pintaku padamu Maha Cinta
Sudah di ubun-ubun cinta mengusik resah
Tak bisa kupaksa walau hatiku menjerit

Ketika Cinta bertasbih Nadiku berdenyut merdu
Kembang kempis dadaku merangkai butir cinta
Garis tangan tergambar tak bisa aku menentang
Sujud sukur padamu atas segala cinta

(OST Ketika Cinta Bertasbih)